'Sila buat laporan polis jika ada bukti DAP sokong komunis'

Kelvin
Kelvin
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Dr Kelvin Yii Lee Wuen menegaskan bahawa parti itu tidak menyokong komunis seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Malah Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) itu turut mempersilakan mana-mana individu untuk membuat laporan polis sekiranya terdapat bukti menunjukkan ada ahli parti itu yang menyokong komunis.

Menurutnya, DAP jelas menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan Islam sebagai agama rasmi di Malaysia.

"Komunis adalah salah atau haram di Malaysia. Jika Presiden Pas katakan ada ahli DAP yang sokong komunis, saya mempersilakan beliau untuk membuat laporan polis.

"Jangan hanya fitnah atau tulis di Facebook, jangan cuba nak kelirukan orang ramai, sila buat laporan polis.

"Jika benar-benar ada, saya akan menyokong sebab saya dari Sarawak, ayah saya juga pernah melihat keganasan komunis," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berdebat pada program Berani Semuka bertajuk Anak Muda Pilih Siapa? yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Program Berani Semuka bertajuk Anak muda pilih siapa? menampilkan Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari (kiri) dan Ketua Pemuda PH, Dr Kelvin Yii Lee Wuen (kanan). - Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID
Program Berani Semuka bertajuk Anak muda pilih siapa? menampilkan Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari (kiri) dan Ketua Pemuda PH, Dr Kelvin Yii Lee Wuen (kanan). - Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID

Program berkenaan turut menampilkan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari sebagai pendebat dan personaliti televisyen, Amin Idris selaku moderator.

Sebelum ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menerusi satu khutbah Jumaat di Marang mendakwa DAP adalah parti yang menyokong komunis.

Kelvin berkata, pemimpin Pas tersebut tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan yang berunsur fitnah terhadap DAP.

"Saya boleh ikut anda buat laporan itu. Silakan namakan individu tersebut, jangan hanya tahu memfitnah dan buat kenyataan umum.

"Kami tidak menyokong komunis. Bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng bukan dibawa oleh DAP. Jika benar dibawa oleh DAP, sila ke (balai) polis, kalau tidak jangan keluar kenyataan semata-mata," tegasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!