Tolak retorik politik lapuk, pilih calon papar politik aksi: Muda

Rasid (kiri) bersama Ahmad Shafiq (kanan) ketika menjadi panelis pada Program Berani Bersemuka dengan tajuk 'Anak Muda Pilih Siapa? yang disiarkan di semua platform digital Sinar Harian pada Isnin. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
Rasid (kiri) bersama Ahmad Shafiq (kanan) ketika menjadi panelis pada Program Berani Bersemuka dengan tajuk 'Anak Muda Pilih Siapa? yang disiarkan di semua platform digital Sinar Harian pada Isnin. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat Johor perlu menolak retorik politik lapuk dibawa calon-calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan memilih mereka yang benar-benar ikhlas menyelesaikan sebarang permasalahan di kawasan terlibat.

Calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin, Rasid Abu Bakar berkata, Muda menampilkan calon-calon yang tidak mengamalkan retorik politik lapuk malah komited memaparkan politik aksi sekali gus bersedia menyelesaikan isu masyarakat setempat.

“Wakil rakyat adalah orang yang dipertanggungjawabkan membawa suara dan aspirasi rakyat ke dalam dewan (DUN) dan adalah penting untuk rakyat memilih pemimpin yang berempati dan ‘compassion’ terhadap kerja dan permasalahan.

“Bukan (memilih) wakil rakyat yang hanya fikir politik berlaku di pejabat sahaja, ketika pakai kot dan kemeja di ruang berhawa dingin. Politik berlaku hari-hari, semua orang terlibat kerana politik negara yang membuka peluang pekerjaan, tentukan kadar gaji serta ekonomi pembangunan modal insan juga bergantung kepada politik negara.

“Rakyat harus tolak retorik politik dan fokus kepada politik aksi, contoh jika kita lantang bercakap soal korupsi atau gila kuasa, tunjuk cara, bukan hanya bercakap sahaja,” katanya ketika menjadi panelis program Berani Bersemuka bertajuk ‘Anak Muda Pilih Siapa?’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Isnin.

Turut menjadi panelis adalah calon Pejuang bagi DUN Layang-layang, Ahmad Shafiq Othaman manakala personaliti televisyen, Amin Idris bertindak sebagai moderator dan penganalisis politik, Mujibu Abd Muis sebagai tetamu jemputan.

Rasid berkata, Muda sentiasa memberikan contoh terbaik dengan melaksanakan tadbir urus yang cekap dan tidak hanya cakap kosong mengenai sesuatu perkara.

Sebagai contoh katanya, Muda tidak hanya lantang bercakap isu tolak rasuah namun menunjukkan cara bagaimana untuk membanteras rasuah.

Artikel Berkaitan:

“Teruskan bertanya kepada pemimpin atau calon di tempat masing-masing, apa yang mereka ingin bawakan.

“Kalau (calon) hanya janjikan kestabilan, pelaburan berbilion ringgit dan sebagainya, saya rasa itu bukan cara kita (Muda) bergerak. Jadi ambil peluang melaksanakan hak demokrasi dan pilih wakil kerajaan yang baik,” ujarnya.