‘Keputusan kami tak berganjak’

Markiman yang mewakili Selangor bersama Sarawak, Putrajaya dan Perlis mahu meneruskan hasrat menubuhkan persatuan baharu sepak takraw negara.
Markiman yang mewakili Selangor bersama Sarawak, Putrajaya dan Perlis mahu meneruskan hasrat menubuhkan persatuan baharu sepak takraw negara.
A
A
A

TIGA ahli gabungan yang diketepikan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) selain Perlis yang masih digantung badan induk itu tetap dengan keputusan mereka untuk menubuhkan entiti baharu sepak takraw negara.

Malah, ketiga-tiga ahli gabungan berkenaan iaitu Selangor, Sarawak dan Putrajaya bersama Perlis sesekali tidak akan berganjak untuk menubuhkan Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM).

Presiden Persatuan Sepak Takraw Selangor (PSAS), Datuk Markiman Kobiran berkata, tindakan itu dibuat dalam usaha menjaga kepentingan empat negeri berkenaan.

“Kami akan tetap teruskan hasrat menubuhkan persatuan baharu yang masa kami telah kemukakan permohonan kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) 30 Oktober lalu selepas digantung PSM.

“Apabila PSM ketepikan empat negeri ini, ke mana kita nak bawa pemain-pemain? Kami tidak mahu pemain-pemain menjadi mangsa akibat daripada situasi yang berlaku sekarang.

“Jadi jalan terbaik... kami tetap dengan pendirian untuk menubuhkan persatuan baharu. Itu jalan terbaik bagi menyelamatkan bakat-bakat muda di peringkat akar umbi di Selangor, Sarawak, Perlis dan Putrajaya,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi PSM pada 7 Oktober sebulat suara telah menggantung Selangor, Sarawak dan Putrajaya (kecuali Perlis yang telah digantung oleh PSM selepas badan induk itu disingkirkan ASTAF) dan mereka hanya boleh menyertai semula PSM dengan mengemukakan permohonan semula selepas Mesyuarat Agung (AGM) badan induk itu diadakan.

Bagaimanapun, pada 30 Oktober lalu, PSM dilaporkan telah mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang dihadiri 51 perwakilan (lima secara maya) bagi mewakili 16 ahli gabungan kecuali tiga ahli gabungan negeri melibatkan Selangor, Sarawak dan Putrajaya serta Perlis.

Artikel Berkaitan:

Mesyuarat berkenaan juga telah bersetuju untuk meminda dua perlembagaan persatuan berkenaan selain turut mengatakan bahawa pemilihan akan diadakan Jun depan bagi memilih pucuk kepimpinan baharu dalam usaha PSM diterima kembali sebagai ahli gabungan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) dan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF).

Dalam pada itu, Markiman turut mempersoalkan mengenai ura-ura yang mengatakan PSM bakal menganjurkan kursus pengadilan penghujung November ini selain merancang untuk menganjurkan Liga Sepak Takraw (STL) pada Disember.

“Saya nak tanya, apakah kesan undang-undang kepada PSM yang telah digantung oleh ASTAF menganjurkan kursus dan juga kejohanan yang gunakan peraturan ASTAF dan ISTAF?

“Penggantungan PSM daripada ASTAF menyebabkan PSM bukan lagi jadi ahli gabungan ASTAF dan ISTAF, bagaimana nak anjurkan kejohanan? Peraturan mana nak digunakan? Pengadil pula bagaimana? Nak guna pengadil ASTAF atau pengadil tempatan?

“Jadi saya lihat semua tindakan ini bertentangan dengan keputusan penggantungan terhadap PSM. Hanya persatuan baharu akan dapat memulihkan semula imej, maruah dan martabat sukan sepak takraw negara di mata dunia setelah diterima ASTAF kembali,” katanya.