MEDAC bakal bentang nota kabinet isu berbangkit usahawan

Noh Omar
Noh Omar
A
A
A

KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) akan membawa nota kabinet berhubung masalah dan isu yang berbangkit mengenai usahawan daripada pelbagai sektor dan dibentangkan pada mesyuarat kabinet untuk diambil tindakan oleh pelbagai kementerian terbabit.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, ini berikutan sesi dialog yang diadakan di MEDAC pada Rabu dengan 52 persatuan usahawan dan lebih 100 orang wakil persatuan serta wakil-wakil pelbagai kementerian antaranya agensi-agensi di bawah MEDAC, Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Menurut beliau, sebelum sesi libat urus tersebut MEDAC telah menerima sebanyak 34 memorandum daripada pelbagai persatuan dan dewan perniagaan dan semua isu itu telah dianalisa serta diklusterkan kepada lapan kategori.

Kategori-kategori tersebut termasuklah automasi dan digitalisasi, dasar monetari dan pembiayaan, akses pasaran, prosedur operasi standard, memudahkan perniagaan, latihan dan bimbingan, percukaian serta isu umum yang memerlukan perhatian daripada pelbagai kementerian, kata beliau dalam sidang media hari ini.

“Berikutan itu MEDAC telah membuat beberapa perancangan bagi membantu usahawan-usahawan yang terlibat antaranya dengan membentangkan Nota Kabinet, yang mewakili suara rasmi persatuan-persatuan usahawan ini untuk didengari dan diberi perhatian oleh kementerian berkaitan supaya masalah birokrasi dapat dipermudahkan.

“Pada masa yang sama urus setia diketuai Ketua Setiausaha MEDAC akan mendapatkan jawapan daripada kementerian lain yang terbabit dan jawapan secara bertulis akan diberikan kepada pihak persatuan,” jelas beliau.

Beliau berkata, dalam suasana mencabar sekarang ini, apabila perusahaan dan perniagaan terjejas disebabkan impak daripada pandemik terutamanya perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS), kerajaan telah memperuntukkan bantuan sebanyak RM147.1 bilion bermula dari 2020.

“Bagi memastikan apa yang dirancangkan dan diperuntukkan kerajaan sampai kepada sasaran, MEDAC akan terus mengadakan libat urus dengan persatuan perniagaan bagi mendapatkan maklum balas serta memastikan dasar-dasar kerajaan dilaksanakan dengan efektif ” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, semasa sesi dialog hari ini, antara persatuan yang membangkitkan isu ahli-ahlinya adalah daripada tiga persatuan pengusaha Spa dan juga persatuan pengusaha bas

Antara isu yang akan diutamakan dalam Nota Kabinet nanti, Noh berkata ia adalah isu yang dibangkitkan hari ini oleh pengusaha bas mengenai pinjaman kredit, serta sewa beli kenderaan oleh syarikat pinjaman kredit.

Menyentuh isu tersebut, beliau berkata akta pinjaman wang telah memberi kuasa kepada KPKT untuk mengeluarkan dan memperbaharui lesen dan ini membolehkan kementerian tersebut memantau operasi syarikat-syarikat pinjaman wang tersebut.

“Tetapi bagi pinjaman sewa beli ia terletak di bawah Akta Sewa Beli seliaan KPDNHEP, bagaimanapun tidak memberi kuasa untuk kementerian mengeluarkan lesen dan sebagainya.

“Atas dasar ini saya cadangkan Akta Kredit Pengguna perlu diwujudkan segera dan diletak di bawah KPDNHEP bagi membolehkan kementerian tersebut diberi kuasa bagi memantau operasi syarikat pinjaman terbabit,” jelasnya lagi.

Dalam usaha memulihkan PMKS di bawah seliaan MEDAC, kementeriannya menyasarkan 100 peratus peniaga di bangunan UDA contohnya akan beroperasi semula dan 200,000 usahawan PMKS akan menerima bantuan yang diperlukan melalui 11 agensi di bawah MEDAC sehingga akhir tahun ini, tambah beliau. - Bernama