X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 24 Januari 2022

Ismail Sabri diberi sambutan rasmi oleh Jokowi

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kanan) disambut Presiden Indonesia Joko Widodo sebaik tiba di Istana Bogor, pada Rabu ketika sambutan rasmi sempena lawatan rasmi tiga hari beliau ke Indonesia bermula semalam. - Foto Bernama
A
A

JAKARTA - Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dalam rangka lawatan tiga hari ke Indonesia bertemu Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi di Istana Bogor pada Rabu.

Ismail Sabri diberikan sambutan karpet merah dan kawalan kehormat. Beliau disambut oleh Jokowi sebaik tiba di kompleks pejabat eksekutif dan kediaman rasmi presiden.

Lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan diikuti dengan tembakan meriam.

Kemudian, Ismail Sabri sambil diiringi oleh Jokowi memeriksa barisan kawalan kehormat yang terdiri daripada anggota pasukan keselamatan presiden.

Beliau turut diperkenalkan kepada menteri kabinet Indonesia sebelum kedua-dua pemimpin meneruskan agenda perbincangan.

Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan kerjasama bilateral dalam pelbagai bidang termasuk pengaturan koridor perjalanan, pendidikan, maritim, perdagangan dan pelaburan serta perkara berkaitan kastam.

Satu sidang akhbar bersama dijangka diadakan selepas kedua-dua pemimpin mengadakan perbincangan mengukuhkan kepentingan strategik bagi dua negara yang mempunyai hubungan terpenting di Asia Tenggara itu.

Pada 5 November lepas, Ismail Sabri dilaporkan berkata akan membincangkan pembangunan di sempadan Sabah dan Kalimantan bersama Jokowi memandangkan Indonesia merancang untuk memindahkan ibu negaranya ke pulau Borneo pada separuh pertama tahun 2024.

Perdana Menteri tiba di Jakarta pada Selasa untuk memulakan lawatan pertamanya ke negara jiran itu sejak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kesembilan pada 21 Ogos 2021. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!