Pertimbang calon PRK Melaka berkempen di TV, radio rasmi kerajaan

Annuar bercakap pada sidang media selepas majlis Pelaksanaan Rangkaian Teras Pelbagai Operator 5G di Ibu Sawat Telekom Malaysia (TM) Jalan Kuantan, Titiwangsa pada Rabu. - Foto Bernama
Annuar bercakap pada sidang media selepas majlis Pelaksanaan Rangkaian Teras Pelbagai Operator 5G di Ibu Sawat Telekom Malaysia (TM) Jalan Kuantan, Titiwangsa pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk membuka ruang kepada semua calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berkempen menerusi saluran televisyen (TV) dan radio rasmi kerajaan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, perincian perkara itu masih dalam perbincangan bersama pihak berkaitan terutama Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan keputusan muktamad akan diumumkan dalam masa terdekat.

"Saya menyedari permintaan itu (berkempen di televisyen dan radio). Saya akan berbincang dengan RTM jika kita boleh mengatur sesuatu untuk memberi peluang (berkempen) maya kepada setiap calon. Saya akan mengumumkan perkara ini nanti,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pembentangan dan Demonstrasi ‘5G Multi-Operator Core Network (MOCN) Integration’ di Ibu Sawat Telekom Malaysia, Setapak pada Rabu.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Digital Nasional Berhad (DNB), Ralph Marshall.

Beliau berkata demikian mengulas permintaan Pakatan Harapan (PH) pada Isnin agar setiap parti bertanding di PRN Melaka diberi ruang antara 30 hingga 60 minit untuk ke udara menerusi media rasmi kerajaan.

Jawatankuasa Komunikasi, Digital dan Multimedia Pakatan Harapan (PH) memohon supaya masa sekurang-kurangnya 30 minit diberikan kepada setiap parti berceramah di TV1, TV2, dan Bernama TV pada setiap malam serta 60 minit berceramah di Melaka FM dan Bernama Radio pada setiap hari.

Sebelum ini, SOP Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak membenarkan calon dan parti dalam PRN Melaka mengadakan aktiviti ceramah, berhimpun, ziarah rumah ke rumah dan tinjauan mesra.

Calon sebaliknya disarankan menggunakan televisyen, akhbar serta media sosial selain boleh menyebarkan risalah atau menggunakan lori dan van bergerak untuk menyebarkan manifesto dan berkempen.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Annuar memberitahu, beliau memahami kesulitan semua parti politik terutama calon baharu ketika berkempen dalam norma baharu apabila perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Walaupun parti politik memperkenalkan kaedah baharu berkempen tetapi masih ada keperluan memberi peluang muncul di rangkaian televisyen," katanya.