Redzuan tetap bersama Bersatu

Redzuan (tengah) dalam sidang akhbar di bilik gerakan Ahli Parlimen Alor Gajah pada Selasa.
Redzuan (tengah) dalam sidang akhbar di bilik gerakan Ahli Parlimen Alor Gajah pada Selasa.
A
A
A

ALOR GAJAH - Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Redzuan Mohd Yusof menafikan dakwaan bahawa beliau akan meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Redzuan berkata, beliau akan tetap berada dalam pimpinan Bersatu.

"Orang tanya kedudukan Ahli Parlimen Alor Gajah, jadi saya nak nafikan orang kata saya tidak berada dalam parti ataupun ura-ura saya nak keluar parti.

"Cuma digembar-gemburkan oleh pihak tertentu, saya nak katakan bahawa saya tetap dalam saf kepimpinan Bersatu," katanya dalam sidang akhbar di bilik gerakan Ahli Parlimen Alor Gajah, pada Selasa.

Sebelum ini, media melaporkan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu akan membuat satu kenyataan penting berkaitan dengan karier politik beliau.

Dalam pada itu, Redzuan berkata, beliau masih bersama parti bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, justeru tidak timbul isu untuk beliau bergerak sendiri.

"Tidak timbul isu kita bergerak secara berasingan, kita akur kepada parti dan kita seboleh mungkin mahu menyelaraskan pergerakan kita sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka," katanya.

Ditanya tentang dakwaan beliau berkecil hati dengan kepimpinan Bersatu Melaka yang dilihat meminggirkan dirinya, Redzuan yang mengakui perkara itu bagaimanapun mengambil sikap lebih terbuka.

Artikel Berkaitan:

Redzuan berkata, beliau memang berkecil hati, namun tidak akan terus begitu kerana Bersatu harus bekerjasama untuk memenangkan kerusi yang ditandingi oleh parti itu.

"Kita orang yang berparti, kita kena akur dengan keputusan itu kalau dinampakkan ketua pimpinan negeri Melaka hari ini boleh menguruskan dan memberikan kemenangan di Melaka, itu adalah keputusan tertinggi.

"Kita tidak boleh ada dua ketua di sini, jadi kita ikut susun atur itu," katanya.