Meneruskan kegemilangan songket Rajang di Sarawak

Tenunan songket Sarawak dikenali dengan keunikannya yang berbeza daripada songket yang dihasilkan di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung. - Foto Bernama
Tenunan songket Sarawak dikenali dengan keunikannya yang berbeza daripada songket yang dihasilkan di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung. - Foto Bernama
A
A
A

MUKAH - Tenunan songket Sarawak dikenali dengan keunikannya yang berbeza daripada songket yang dihasilkan di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung kerana menggunakan teknik ‘sembunyi benang’ semasa proses penghasilannya.

Ini menjadikan jahitan pada bahagian luar dan dalam tiada bezanya, sekali gus membolehkan kedua-dua bahagian dipakai.

Antara songket Sarawak yang terkenal adalah di Kampung Rajang, Belawai dekat sini yang dikenali sebagai Songket Rajang, dan sememangnya sentiasa menjadi buruan ramai walaupun harganya boleh mencecah RM12,000 sehelai.

Namun, penghasilan songket ini yang ditenun menggunakan benang khas dari Terengganu, pernah hampir lenyap apabila ia terhenti sekitar 1960-an akibat kesukaran mendapatkan bahan seperti benang dan permintaan yang kurang akibat harganya agak tinggi.

Pengerusi Kumpulan Tenun Songket Rajang Saanah Suhaili, 65, berkata pada ketika itu, empat peneraju songket berkenaan iaitu ibunya dan tiga rakan ibu berhenti mengusahakan tenunan itu agak lama sehinggalah pasukan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) datang ‘menjengah’ sekitar 1989.

“SEDC kemudian menawarkan kepada penduduk untuk memulakan semula industri songket dan mencari orang baharu untuk tenunan ini. Waktu itu, saya memang tak minat tetapi ibu dan kakak saya suruh mencuba dan isi borang,” katanya ketika ditemui Bernama di pusat tenunan itu, kira-kira satu setengah jam perjalanan dari Sibu.

Bertitik tolak daripada itu, Saanah, yang dianugerahkan Tukang Ulung pada Hari Kraf Kebangsaan 2014 berkata, Kumpulan Tenun Songket Rajang ditubuhkan pada April 1991 dengan keahlian seramai 19 orang yang mendapat latihan menenun dan bimbingan dalam pemasaran oleh SEDC.

Bukan itu sahaja, pada 2003 Menteri Pelancongan Sarawak pada ketika itu Datuk Abang Johari Tun Openg yang kini Ketua Menteri, turut mengumumkan peruntukan RM500,000 bagi pembangunan songket Sarawak yang turut menyaksikan bangunan baharu Pusat Tenunan Songket Sarawak di Kampung Rajang dapat didirikan.

Artikel Berkaitan:

“Perusahaan tenunan ini lama-kelamaan boleh bernafas semula dan pada masa sama turut mendapat bantuan daripada Kraftangan Malaysia bagi latihan dan kursus tenunan songket dan promosi jualan,” katanya yang berpengalaman 31 tahun dalam bidang tenunan.

Sementara itu, Awangko’ Hamdan Pengiran Arshad yang pernah berkhidmat di SEDC dan antara individu bertanggungjawab menjalankan kajian dan ‘memujuk’ penduduk di Kampung Rajang memulakan semula aktiviti itu berkata beliau berbangga melihat kemajuan dan populariti songket berkenaan yang semakin baik.

Pensyarah Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang turut membuat kajian berkaitan songket Sarawak itu berkata ketika itu, SEDC serius untuk menghidupkan semula dying arts, satu daripadanya adalah songket Sarawak melalui pemberian kursus, bimbingan dan bantuan pemasaran.

“Selepas itu, dari aspek pemasaran kita bantu dengan mengambil songket ini dan memasarkannya di Kuching. Masa itu promosi terbaik adalah kepada orang kenamaan sebab kuasa membeli itu ada dan lama- kelamaan kita lihat penenun-penenun ini mula mendapat rentaknya sendiri,” katanya.

Bagaimanapun, jika dahulu penghasilan songket ini pernah terhenti disebabkan kesukaran mendapatkan bahan, kini Saanah dan Awangko’ Hamdan sedikit gusar dengan kelangsungan seni warisan itu yang dikhuatiri terhenti sekali lagi, memandangkan tidak ramai anak muda yang berminat mempelajarinya dengan kini hanya tinggal lapan penenun tetap di pusat itu, berusia 40 hingga 73 tahun.

Dayang Norsalam Pengiran Parsih, 78, yang diangkat sebagai Adiguru Kraf Songket Sarawak pada 1995, berkata beliau maklum dengan keadaan itu dan berpendapat ia mungkin disebabkan anak muda sekarang lebih suka makan gaji, berbanding kerja menenun yang memakan masa lama.

Dayang Norsalam yang sebelum ini sering dijemput untuk menjadi tenaga pengajar dan pakar rujuk di dalam dan luar negara dalam usaha memartabatkan seni kraf tempatan, berkata walaupun beliau sudah banyak kali mengadakan latihan menenun songket, nampaknya masih ramai anak muda kurang berminat.

“Mungkin kalau tenunan songket Sarawak ini mendapat pengiktirafan antarabangsa, lebih ramai anak muda akan berminat. Sekarang ramai penenun sudah tua, saya berharap sangat generasi muda tidak meninggalkan warisan ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Rajang.

Sebelum ini, Kerajaan Sarawak menyatakan hasrat untuk mencalonkan songket Sarawak, yang kini sering mendapat tempahan golongan kenamaan dan bangsawan, dalam senarai Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara (ICH). - Bernama