200 lesen bas PSV percuma ditawarkan kepada B40 di pantai timur

Anthony Loke - Foto Bernama
Anthony Loke - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 200 Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) bas ditawarkan kerajaan secara percuma khusus kepada golongan B40 di negeri Pantai Timur, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Beliau berkata, jumlah tersebut merupakan penambahan kepada 500 lesen PSV bas yang ditawarkan kerajaan menerusi program MyPSV yang dilancarkan minggu lepas.

Anthony menjelaskan, tawaran kepada golongan B40 yang dikhususkan kepada Pahang, Terengganu dan Kelantan itu dibuat bukan kerana Kelantan dan Terengganu akan menghadapi pilihan raya negeri bulan depan, sebaliknya ia merupakan dana tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang diperuntukkan daripada agensi kerajaan, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL).

Menurutnya, negeri-negeri tersebut dipilih kerana MRL terlibat dengan pelaksanaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), dan dana CSR tersebut difikirkan selayaknya perlu dikembalikan kepada penduduk di negeri Pantai Timur.

"Ia merupakan dana lebihan yang diperoleh daripada faedah bank yang boleh kita salurkan untuk dijadikan peruntukan CSR bagi membantu rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Perkhidmatan Bas Berkapasiti Tinggi, milik Konsortium E-Mutiara Bhd di sini hari ini.

Justeru katanya, beliau mengharapkan kerjasama daripada syarikat bas yang mengendalikan perjalanan dari Lembah Klang ke negeri-negeri Pantai Timur untuk bersama-sama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melaksanakan inisiatif tersebut.

"Ini supaya kita dapat padankan bakal-bakal pemandu bas ini dengan syarikat bas berkenaan bagi memastikan sebaik sahaja mereka tamat latihan, akan terus terima tawaran kerja,” katanya. - Bernama