Guna 'lahabau', Ahli Parlimen DAP dikecam netizen

Tangkap layar poster yang dimuat naik oleh Nie Ching sebelum dipadamkan pada Isnin.
Tangkap layar poster yang dimuat naik oleh Nie Ching sebelum dipadamkan pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Kulai daripada DAP, Teo Nie Ching dikecam netizen selepas memuat naik poster menggunakan dialek tempatan Melaka yang membawa maksud negatif dan kasar dalam Facebook miliknya pada Isnin.

Poster yang tertera perkataan ‘Lahabau Melaka, Jom Undi’ selain turut berlatarbelakangkan gambarnya dan bendera Melaka dimuat naik selama beberapa minit sebelum beliau memadam poster itu selepas dihentam oleh netizen.

Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), lahabau merupakan bahasa kasar yang membawa maksud tidak berguna atau tidak boleh diharap.

Menyedari kesilapan yang dilakukannya itu, Nie Ching tampil memohon maaf dan menjelaskan niatnya hanya untuk berkempen melalui media sosial tetapi tersalah memilih ‘frame’ yang terdapat dalam laman sosial tersebut.

“Dalam keghairahan kempen media sosial ini, ramai petugas Pakatan Harapan, khususnya DAP, hampir tak cukup tidur dalam usaha menyediakan bahan-bahan kempen.

“Namun, manusia tidak pernah lepas daripada kesilapan, termasuk diri saya sendiri.

“Akibatnya, terserlah kesilapan bahasa yang memalukan melalui media sosial. Saya cuma ingin berkempen melalui 'frame' percuma yang boleh didapati di Facebook tanpa memahami maksud sebenar perkataan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Beliau turut berjanji akan lebih berhati-hati dalam memuatnaik sebarang bentuk kempen media sosial untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Artikel Berkaitan:

"Saya menyusun sepuluh jari memohon maaf buat semua, terutamanya rakyat dan pengundi Melaka," katanya.

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my