Agensi kerajaan perlu jadi ‘responder’ baik: Ismail Sabri

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

PUTRAJAYA - Setiap agensi kerajaan perlu menjadi ‘responder’ yang baik semasa menyelamat atau menguruskan pusat-pusat pemindahan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, ini kerana pandemik Covid-19 dan variannya masih belum lagi terhapus sepenuhnya di negara ini.

“Ini akan memerlukan penyelarasan sumber dan kerjasama padu antara agensi-agensi kerajaan dalam menghadapi situasi 'bencana dalam bencana’ terutamanya semasa Monsun Timur Laut yang telah bermula pada 3 November yang lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Program #KeluargaMalaysiaSiagaBencana Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2021 di sini pada Isnin.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri menambah, perkara itu juga bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19 semaksimum mungkin dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) atau garis panduan yang telah disediakan.

“Pada masa yang sama sebagai Keluarga Malaysia, saya menyeru semua pihak untuk berganding bahu merealisasikan semua perancangan yang telah disusun bagi menghadapi apa jua bentuk dan intensiti bencana,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) juga telah mengambil langkah proaktif dengan menggubal Dasar Pengurangan Risiko Bencana (DRR).

Artikel Berkaitan:

“DRR bukan sekadar penyediaan infrastruktur berhadapan bencana sahaja tetapi meliputi semua tindakan pencegahan dan pengurangan risiko dalam setiap tahap kitaran bencana.

“Justeru, kajian Daftar Risiko Bencana (NRR) dilaksanakan untuk meningkatkan pemahaman terhadap risiko bencana yang telah atau berpotensi berlaku,” jelasnya.

Katanya, ia bagi memudahkan semua pihak merancang dan membuat keputusan secara bermaklumat, selaras dengan matlamat pembangunan mampan.