'Tandatangan MoU dengan pembangkang, tapi berebut kuasa di Melaka'

PRN Melaka menyaksikan pertembungan antara BN dan PN
PRN Melaka menyaksikan pertembungan antara BN dan PN
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan digesa agar segera menjawab ‘kekeliruan’ yang berlaku hari ini susulan wujud perebutan kuasa antara parti-parti komponen mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) berkata, ini kerana rakyat perlu tahu kerajaan mana yang mentadbir negara ketika ini apabila pendirian parti komponen dalam kerajaan Persekutuan dan Melaka tidak lagi selari.

Menurutnya, di saat Pakatan Harapan (PH) memilih untuk menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya memilih kestabilan politik hingga termeterainya memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan PH, namun lain pula yang berlaku dalam kerajaan ketika ini.

“Saya sendiri tidak dapat pastikan kerajaan ini kerajaan Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN), tetapi hakikatnya kerajaan ini sedang mengalami porak-peranda sedangkan MoU ialah untuk kestabilan politik dan porak-peranda ini membawa kepada ketidakstabilan politik.

“Hari ini di PRN Melaka menyaksikan pertembungan antara BN dan PN. Walaupun dari sudut politik, saya boleh terima dan beri kebaikan kepada kami untuk menang, tetapi saya tidak melihat kepada aspek itu sebaliknya kenapa ini berlaku.

“Sedangkan di peringkat Persekutuan sekarang ini adalah kerajaan bersama BN dan PN. Tiba-tiba di Melaka mereka berebut kuasa, mana maruah, di sini (ahli Parlimen kerajaan) masih berada dalam kerajaan PN, tetapi di sana berebut kuasa antara satu sama lain,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan (Bajet) 2022 di Dewan Rakyat pada Isnin.

Melihat akan ketidakstabilan dalam kerajaan ketika ini, Mahfuz mengajak rakyat Melaka untuk mengembalikan mandat kepada PH untuk mentadbir negeri itu.

“Saya seru dari dewan yang mulia ini untuk rakyat Melaka berikan kembali kepercayaan kepada PH untuk perintah Melaka,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 13 September lalu, politik Malaysia mencatat sejarah buat kali pertama apabila kerajaan dan pembangkang menandatangani MoU dalam urusan pentadbiran kerajaan.

Majlis menandatangani MoU Transformasi dan kestabilan Politik diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mewakili kerajaan.

Bagi pihak PH diwakili Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.