X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 21 Mei 2022

UK minat kerjasama dengan Malaysia dalam ekonomi digital

Saifuddin - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - United Kingdom (UK) menyatakan minat untuk meningkatkan kerjasama ekonomi dengan Malaysia terutamanya dalam bidang ekonomi digital, kata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, ekonomi digital juga merupakan satu daripada tumpuan Malaysia dalam Rancangan Malaysia ke-12 dan dalam usaha membangunkan semula ekonomi era pasca pandemik.

“Kerjasama dalam ekonomi digital dalam pelbagai hal termasuk daripada segi pendidikan dan pertukaran maklumat, penyelidikan dan perbangunan dan sebagainya,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Isnin.

Sebelum itu, beliau bersama Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Luar, Komanwel dan Hal Ehwal Pembangunan UK, Elizabeth Truss.

Truss yang tiba di Malaysia pada Ahad, berada dalam rangka lawatan pertama ke rantau Asia Tenggara sejak dilantik sebagai Setiausaha Luar UK pada September 2021.

Selain itu, Saifuddin berkata, kedua-dua negara turut komited untuk memperkukuhkan Komanwel selepas pandemik.

“Ini mungkin waktu yang sesuai untuk Komanwel melihat penekanan semula dalam beberapa perkara. Dua perkara disebutkan tadi dalam sektor ekonomi dan pendidikan bagi negara-negara Komanwel,” katanya.

Menurut Saifuddin, Malaysia juga mengalu-alukan penglibatan UK dalam Peraturan Pertahanan Lima Negara (FPDA) dan meluahkan penghargaan atas penglibatan negara itu dalam latihan ketenteraan sempena 50 tahun perjanjian berkenaan.

FPDA ditandatangani pada 1971 oleh lima negara iaitu Malaysia, Singapura, Australia, New Zealand dan UK. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!