Dua beradik dipukul kerana tuntut hutang

Shamsul Amar
Shamsul Amar
A
A
A

KLANG - Hanya kerana menuntut hutang sebanyak RM2,200, seorang tukang cuci kereta dan adik lelakinya dipukul sekumpulan lelaki di hadapan sebuah rumah di Taman Sentosa Klang di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, dalam kejadian pada jam 8.30 malam itu, sekumpulan lelaki yang menaiki dua kereta jenis Proton Wira dan Hyundai telah menyerang mangsa dan adiknya dengan menggunakan senjata parang serta pisau.

"Bagaimanapun hanya adik lelaki mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian muka akibat di tumbuk suspek ketika cuba menahan suspek daripada menyerang mangsa.

"Jiran mangsa telah membantu menyuraikan dan menghalau kesemua suspek beredar dari lokasi kejadian," katanya melalui kenyataan pada Ahad

Mengulas lanjut, Shamsul Amar berkata, kejadian berpunca apabila mangsa yang berusia 25 tahun itu meminta wang yang dipinjam oleh adik saudaranya kerana mangsa tidak cukup wang untuk berkahwin.

"Bertindak atas maklumat, sembilan lelaki berusia 21 hingga 27 tahun ditahan di Taman Sri Sentosa di sini pada jam 1.30 pagi.

"Kita turut merampas sebuah kereta Proton Wira, dua bilah parang, satu bilah pisau lipat dan satu beg sandang," katanya.

Dalam kes berasingan, Shamsul Amar memaklumkan tiga lelaki ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes pergaduhan sekumpulan lelaki di hadapan sebuah cafe di Bandar Botanik Klang di sini pada hari sama.

Artikel Berkaitan:

"Tiga lelaki berusia 25 hingga 33 tahun itu ditahan di lokasi kejadian pada jam 1 pagi Ahad," katanya.

Shamsul Amar berkata, hasil siasatan awal, kesemua suspek mengaku terlibat dalam kes yang disiasat.

"Siasatan lanjut akan diteruskan selepas permohonan reman di Mahkamah Klang dan kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan," katanya.