Polis cari dua remaja perempuan lari dari rumah perlindungan

Polis sedang mengesan dua remaja perempuan berumur 13 dan 14 tahun yang melarikan diri dari asrama rumah perlindungan kanak-kanak di Rembau.Gambar hiasan
Polis sedang mengesan dua remaja perempuan berumur 13 dan 14 tahun yang melarikan diri dari asrama rumah perlindungan kanak-kanak di Rembau.Gambar hiasan
A
A
A

REMBAU - Polis sedang mengesan dua remaja perempuan berumur 13 dan 14 tahun yang melarikan diri dari asrama rumah perlindungan kanak-kanak di Rembau, di sini, pada 26 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, kehilangan kedua-duanya disedari petugas asrama jam 3.50 pagi, sebelum membuat laporan polis kira-kira jam 11.30 pagi.

Katanya, wanita berusia 37 tahun yang bekerja sebagai pembantu pembangunan masyarakat itu membuat rondaan jam 2.50 pagi dan mendapati semua penghuni berada di katil masing-masing.

"Namun sejam kemudian dia membuat rondaan sekali lagi, dan mendapati dua remaja itu tiada di katilnya.

"Petugas kemudian memanggil nama setiap penghuni dan mendapati dua remaja itu didapati hilang, puas mereka mencari di kawasan asrama namun gagal menemui dua remaja terbabit," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Katanya, kedua-dua remaja terbabit tidak pernah keluar dari rumah kanak-kanak tersebut, dan tidak menggunakan telefon bimbit.

Tambah Hazri, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah membuat semakan dengan ibu-bapa dan saudara remaja terbabit, namun mereka juga tiada maklumat.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai dua remaja terbabit, diminta tampil ke balai polis terdekat atau menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan J Manivannan di talian 019-8148 463.

Artikel Berkaitan:

Kali terakhir mereka dilihat memakai baju kurung.