X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 24 Mei 2022

Mayat budak ditemui dengan kesan gigitan buaya di kaki

Mayat mangsa ditemui penduduk kampung di Sungai Kampung Bakau Lama, Lahad Datu pada pagi Ahad sebelum dibawa naik ke darat.
A
A

LAHAD DATU - Kanak-kanak lelaki yang dikhuatiri dibaham buaya akhirnya ditemui dengan kesan gigitan pada kaki di Sungai Kampung Bakau Lama di sini pada Ahad.

Mayat kanak-kanak berusia 10 tahun itu ditemui dalam keadaan terapung oleh penduduk kampung pada jam 6.41 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, mangsa ditemui oleh penduduk kampung yang turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Katanya, operasi SAR yang disambung pada hari kedua dimulakan kira-kira jam 6.30 pagi bersama penduduk kampung.

“Mangsa kemudian ditemui penduduk kampung dalam keadaan terapung di sungai pada jarak 700 meter dari lokasi mangsa diserang buaya.

“Ketika ditemui, terdapat kesan gigitan pada kaki kiri mangsa dipercayai akibat digigit buaya namun mayat mangsa masih dalam keadaan sempurna,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata, mayat kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Menceritakan kejadian, Sumsoa berkata, mangsa dipercayai diserang buaya pada Sabtu ketika sedang mencari udang untuk umpan memancing bersama dua rakannya.

“Rumah mangsa terletak di atas air. Ketika kejadian mangsa dikatakan menangkap udang di bawah kolong rumahnya namun tiba-tiba diserang buaya di bahagian kaki.

“Mangsa dapat melepaskan diri namun ketika masih berdiri di sungai itu, dia sekali lagi diserang di bahagian pinggang sebelum ditarik ke dalam sungai dan hilang,” katanya.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan mangsa hilang selepas dikhuatiri dibaham buaya di sungai berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN:Kanak-kanak hilang dipercayai dibaham buaya


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!