Pengakap OKU mulakan misi kayak secara solo

Mohd Syukor bersedia daripada segi fizikal dan mental untuk menjayakan misi Survival Kayak Solo Pengakap OKU sejauh 360 km yang bermula pada Sabtu.
Mohd Syukor bersedia daripada segi fizikal dan mental untuk menjayakan misi Survival Kayak Solo Pengakap OKU sejauh 360 km yang bermula pada Sabtu.
A
A
A

GERIK - Kehadiran buaya dan kayak terbalik merupakan risiko bakal dihadapi pemuda kurang upaya (OKU) yang memulakan misi mencipta Malaysia Book of Records menerusi Survival Kayak Solo Pengakap OKU pada Sabtu.

Mohd Syukor Shahuji, 29, yang mempunyai masalah lembam dan kudung kaki kanan bagaimanapun menganggap itu sebagai satu cabaran untuk meneruskan ekspedisi dayungan kayak sejauh 360 kilometer.

Menurutnya, dayungan selama lapan hari itu bermula dari Jeti Tasik Banding di sini dengan menyelusuri Sungai Perak sebelum berakhir di Beting Beras Basah, Bagan Datuk pada 13 November ini.

"Pelbagai cabaran perlu diharungi terutama dalam keadaan kayak terbalik yang memerlukan kudrat untuk mengangkatnya selain keadaan cuaca yang tidak menentu.

"Saya gembira menerima sokongan daripada Persekutuan Pengakap Malaysia Perak untuk menjayakan misi dalam aktiviti yang paling saya minati ini," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Majlis Perasmian Pelepasan Survival Kayak Solo Pengakap OKU di Jeti Awam Tasik Banding di sini pada Sabtu.

Majlis disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim.

Mohd Syukor berkata, sokongan keluarga dan rakan-rakan berjaya merealisasikan impiannya untuk berkayak meskipun ditimpa ujian kehilangan kaki selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya pada tahun 2017.

Aznel (tengah) hadir menyaksikan pelepasan Mohd Syukor Survival Kayak Solo Pengakap OKU di Tasik Banding, Gerik pada Sabtu.
Aznel (tengah) hadir menyaksikan pelepasan Mohd Syukor Survival Kayak Solo Pengakap OKU di Tasik Banding, Gerik pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

"Ketika diuji dengan kejadian itu, hampir setahun saya tidak mendayung dan semangat ini kembali diperoleh apabila rakan-rakan tidak putus asa mengajak saya untuk kembali berkayak.

"Saya lihat ramai individu yang kurang bernasib baik mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing. Ini bukan alasan untuk diri saya dalam mencapai impian ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Perak, Ahmad Azam Shah Abd Majid berkata, misi survival Pengakap OKU itu mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk agensi keselamatan.

"Kita sudah mengambil langkah berjaga-jaga dengan mendapatkan nasihat daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pihak berkuasa empangan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Difahamkan kawasan di Hilir Perak terpaksa dikawal oleh bot penyelamat kerana kita bimbang buaya boleh mengganggu perjalanannya.

"Keadaan air pasang besar adalah baik kerana kayak akan lebih terapung cuma keadaan ribut dan hujan kena berhati-hati," katanya.

Ahmad Azam Shah berkata, Mohd Syukor akan berhenti di tujuh stesen yang ditetapkan dan pada destinasi terakhir akan disambut oleh Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

"Kita telah melatihnya untuk menguruskan diri ketika di air atau bermalam dengan berkhemah di lokasi ditetapkan.

"Sepanjang perjalanan, dia akan dibekalkan makanan dan minuman, namun tidak boleh berhenti melainkan berlaku kecemasan bagi melayakkan dirinya sebagai pendayung kayak solo OKU," jelas beliau.