Jambatan sementara Bailey ganti jambatan runtuh akibat kepala air

Mahdzir (dua dari kanan) beramah mesra dengan warga Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) ketika hadir pada Anugerah Khidmat Cemerlang di Dewan Kolej Mara Kuala Nerang.
Mahdzir (dua dari kanan) beramah mesra dengan warga Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) ketika hadir pada Anugerah Khidmat Cemerlang di Dewan Kolej Mara Kuala Nerang.
A
A
A

KUALA NERANG - Projek pembinaan jambatan baharu di Kampung Setol, Yan bagi menggantikan jambatan yang runtuh akibat kepala air pada 18 Ogos lalu kini dalam proses perolehan dan dijangka mengambil sedikit masa.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, buat sementara ini proses memasang jambatan Bailey akan dilakukan terlebih dahulu bagi kegunaan penduduk terjejas.

Menurutnya, jambatan baharu yang kekal akan segera dibina apabila proses tender selesai.

“Kita bina dahulu jambatan Bailey, kemudian kita akan bina jambatan kekal yang baharu. Untuk jambatan baharu ambil masa sedikit kerana Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu buat reka bentuk.

"Jadi kita putuskan JKR pasang jambatan Bailey terlebih dahulu untuk kemudahan penduduk,” katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan Anugerah Khidmat Cemerlang (APC) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Dewan Kolej Mara Kuala Nerang pada Sabtu.

Khamis lalu, lebih 500 penduduk Kampung Setol menggesa kerajaan mempercepatkan pembinaan jambatan baharu terbabit kerana ketiadaan kemudahan itu menyebabkan mereka terpaksa menggunakan laluan alternatif yang jaraknya dua kali ganda.

Mengulas lanjut, Mahdzir memaklumkan, hanya projek pembinaan jambatan baharu itu belum dilaksanakan manakala projek membaik pulih kemudahan lain di bawah kementeriannya sedang dilaksanakan.

“Ada kerja-kerja baik pulih yang telah dilakukan seperti Tabika Kemas, pemulihan jalan kampung, kubur dan surau yang rosak akibat bencana itu,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai kerosakan yang dialami akibat banjir di beberapa daerah di Kedah, beliau menjelaskan, tidak banyak kerosakan yang dilaporkan dan hanya melibatkan beberapa kemudahan asas.

“Ada jalan kampung yang bawah kementerian saya, setakat ini tidak banyak terjejas namun ada tempat yang perlu pembaikan dan memerlukan kerjasama dengan pejabat daerah,” katanya.

Setakat petang Sabtu, seramai 858 mangsa banjir daripada 233 keluarga ditempatkan di 11 pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan empat daerah di negeri ini iaitu Pendang, Kota Setar, Pokok Sena dan Baling.