X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 18 Mei 2022

Air pasang: Masih ada penduduk degil abai keselamatan

Fenomena air laut pasang besar yang berlaku di sekitar Jeti Penumpang Pelabuhan Klang .- Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
A
A

SHAH ALAM - Masih terdapat penduduk sekitar yang berdegil dengan mengambil remeh isu keselamatan ketika musim tengkujuh dan fenomena air pasang besar melanda beberapa negeri ketika ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, pihaknya sentiasa memberi nasihat kepada masyarakat agar mengambil langkah proaktif untuk bersiap sedia dan seumpamanya.

Beliau berkata, dari segi tahap pematuhan masyarakat, didapati masih ada yang tidak sepenuhnya patuh dengan arahan diberikan.

"Mereka beranggapan setiap kejadian itu berlaku tidak melibatkan diri atau keluarga. Sikap begini harus dielakkan.

"Bagaimanapun, hanya segelintir tidak patuh iaitu lebih kurang 20 peratus. Berkemungkinan juga mereka ini berasakan diri mahir dan sudah biasa tempuh situasi banjir," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, keadaan dan situasi cuaca pada ketika ini adalah tidak menentu.

Menurutnya, pihaknya tidak mahu apabila keadaan berubah menjadi kelam-kabut hingga merisikokan operasi menyelamat yang dilakukan pada waktu genting seperti waktu malam dan awal pagi terutama ketika situasi hujan lebat.

Abdul Wahab berkata, JBPM juga mengingatkan masyarakat untuk mengambil langkah keselamatan dengan melindungi diri, dokumen penting serta harta-benda.

"Di musim tengkujuh dan air pasang besar, ibu bapa diminta memastikan anak-anak mereka tidak bermain di kawasan berisiko seperti sungai, persisiran pantai dan air terjun. Selain itu, aktiviti mendaki dan memancing juga tidak digalakkan," ujarnya.

Menurutnya, JBPM sentiasa bersiap siaga dan arahan telah dikeluarkan di setiap negeri untuk memastikan aset berfungsi dalam keadaan baik.

"Kita juga telah meningkatkan kemahiran dan kecekapan bagi mengendalikan aset seperti bot dan sebagainya selain pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

"Ini termasuk kelengkapan seperti pelitup muka bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19," katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini memaklumkan bahawa hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor mulai November ini hingga awal Januari 2022 susulan peralihan Monsun Timur Laut yang dijangka bermula 3 November dan berterusan sehingga Mac tahun depan.

Menurut jabatan itu, hujan lebat juga dijangka lebih tertumpu di Sarawak serta Sabah pada awal Januari dan Februari 2022.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!