Fenomena air pasang besar paling buruk di Kuala Kedah

Anggota APM sedang memantau paras air di sekitar kawasan Kuala Kedah pada awal pagi Sabtu.
Anggota APM sedang memantau paras air di sekitar kawasan Kuala Kedah pada awal pagi Sabtu.
A
A
A

ALOR SETAR - Fenomena air pasang besar yang berlaku pada Jumaat malam mencatatkan paras paling tinggi pernah dialami penduduk yang tinggal berhampiran pesisiran pantai di Kuala Kedah di sini.

Penduduk Kampung Seberang Kota, Muhammad Rizuwan Abdullah, 38, berkata, air laut yang mulai pasang pada jam 11.30 malam memenuhi ruang rumahnya dalam tempoh beberapa minit sahaja.

Katanya, jumlah air yang banyak dan laju menyebabkan bahagian dapur rumahnya yang lebih tinggi turut dinaiki air.

"Fenomena air pasang memang perkara biasa di kawasan ini tetapi air yang naik malam ini lebih tinggi daripada kejadian yang pernah kami alami sebelum-sebelum ini," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini pada awal pagi Sabtu.

Muhammad Rizuwan mengharungi air yang memenuhi ruang rumahnya dalam kejadian air pasang besar di pesisiran pantai Kuala Kedah.
Muhammad Rizuwan mengharungi air yang memenuhi ruang rumahnya dalam kejadian air pasang besar di pesisiran pantai Kuala Kedah.

Menurut Muhammad Rizuwan, dia juga belum sempat menyusun atur kelengkapan dalam rumahnya selepas air masuk ke dalam rumah pada hari sebelumnya.

"Pada Khamis lepas, air masuk juga dalam rumah tapi tidak tinggi sangat, lepas air surut kira-kira jam 2 pagi itu saya cuma bersihkan saki-baki air yang masih ada sebab tahu kejadian sama akan berulang lagi," katanya.

Dalam pada itu, seorang peniaga di pekan Kuala Kedah, Md Rashid Man,47, berkata, kejadian air pasang ini hanya berlaku dalam tempoh beberapa jam sahaja dan ia fenomena biasa bagi penduduk yang tinggal di pesisiran pantai.

Artikel Berkaitan:

"Selalunya air naik dalam dua hingga tiga jam sahaja. Selepas itu ia akan surut semula. Esok pagi keadaan akan kembali reda seperti sediakala," katanya.

Berdasarkan tinjauan yang dilakukan bersama Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kota Setar, kawasan sekitar pekan Kuala Kedah dinaiki air setinggi 0.5 meter sehingga 0.7 meter.

Pasar Nelayan Seberang Kota antara kawasan yang ditenggelami air akibat fenomena air pasang besar yang bermula pada jam 11.30 malam pada Jumaat.
Pasar Nelayan Seberang Kota antara kawasan yang ditenggelami air akibat fenomena air pasang besar yang bermula pada jam 11.30 malam pada Jumaat.

Pegawai Bahagian Operasi dan Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kota Setar, Leftenan (PA) Muhammad Hilmi Yaakob berkata, walau bagaimanapun, keadaan masih lagi stabil dan terkawal.

"Berdasarkan pemantauan sebanyak 20 buah rumah penduduk terjejas dalam kejadian air pasang berkenaan. Tetapi tidak semua rumah dimasuki air bergantung kepada bentuk muka bumi.

"Penduduk yang berada di kawasan yang lebih rendah, memang akan terkesan, terutama di kawasan pantai nelayan, malah di persimpangan untuk ke jeti Kuala Kedah pun air mulai naik," katanya

Muhammad Hilmi menambah, APM sentiasa bersedia khususnya bagi operasi memindahkan mangsa ke beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) terdekat sekiranya situasi semakin memburuk.