Jual 5,000 botol air nira kelapa seminggu

Mohamad Nazri menunjukkan air nira kelapa yang dihasilkan diletakkan di dalam peti sejuk beku sebelum diagihkan kepada penjual.
Mohamad Nazri menunjukkan air nira kelapa yang dihasilkan diletakkan di dalam peti sejuk beku sebelum diagihkan kepada penjual.
A
A
A

KUANTAN - Pengusaha air nira kelapa di Felda Bukit Sagu mampu meraih pendapatan berlipat ganda apabila air nira keluarannya terjual kira-kira 5,000 botol dalam tempoh seminggu.

Mohamad Nazri Ismail, 42, berkata, itu hasil jualan yang diperoleh pada hari biasa dan permintaan air nira kelapa akan bertambah apabila tiba bulan Ramadan.

Menurutnya, perniagaan itu memberi pendapatan lumayan selepas berkali-kali perancangan dalam perniagaan diusahakannya berakhir dengan kekecewaan.

"Saya mula berjinak dalam bidang menjual air nira kelapa ini pada Mac tahun lalu dan saya tidak sangka permintaannya sangat menggalakkan.

"Dalam tempoh seminggu sahaja saya mampu menjual sebanyak 5,000 botol yang dijual pada harga RM4 sebotol," katanya ketika ditemui di Felda Bukit Sagu pada Jumaat.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, sebelum terlibat secara serius dalam bidang tersebut, dia bersama isterinya belajar cara untuk menghasilkan air nira kelapa menerusi YouTube.

Mohamad Nazri memotong mayang kelapa untuk menghasilkan air nira di Felda Bukit Sagu pada Jumaat.
Mohamad Nazri memotong mayang kelapa untuk menghasilkan air nira di Felda Bukit Sagu pada Jumaat.

Katanya, melalui pendedahan daripada YouTube, pasangan itu mula mencari formula yang bersesuaian bagi memastikan kualiti air nira dihasilkan dapat memberi kepuasan kepada pelanggan.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, kini sebanyak 100 pokok kelapa jenis pandan telah ditanam dan sesuai untuk dijadikan air nira.

"Saya mengambil air nira dari pokok itu dua kali sehari, sebelah pagi dan lewat petang.

"Setakat ini, jumlah air nira dihasilkan mencukupi untuk dibekalkan di kedai sekitar Kuantan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Mohamad Nazri memberitahu, sebanyak 25 peti sejuk beku yang ditempatkan di kedai runcit di sekitar bandar raya ini dan setiap peti mampu memuatkan 100 botol air nira kelapa.

Mohamad Nazri sedang memasang bekas untuk proses mendapat air nira.
Mohamad Nazri sedang memasang bekas untuk proses mendapat air nira.

Katanya, permintaan terhadap air nira juga sangat menggalakkan dan meningkat setiap kali bulan Ramadan kerana air nira kelapa memiliki rasa unik serta dapat menghilangkan dahaga dengan cepat.

“Ada pelanggan dari Jerantut dan Kuala Lumpur yang selalu menempah air nira dari saya, tapi kadang-kala terpaksa ditolak kerana faktor bekalan. Lagipun saya buat seorang diri, panjat pokok dan kutip air nira manakala isteri pula akan bantu botolkan air berkenaan sebelum disimpan di dalam peti.

“Saya turut memudahkan peniaga (kedai runcit) yang menjual air nira yang saya keluarkan ini dengan menyediakan peti ais selain turut membayar bil elektrik kedai mereka, jadi kami sama-sama dapat untung,” katanya.