Clare Rewcastle-Brown dikehendaki polis

Clare Brown. - Foto fail Bernama
Clare Brown. - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown disenarai sebagai individu dikehendaki oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan kegagalannya hadir pertuduhan kes fitnah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, pemakluman tersebut dikeluarkan di bawah Seksyen 500 susulan waran tangkap oleh Mahkamah Majistret Terengganu pada 23 September.

"Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai penama ini diminta menghubungi Ketua Unit Siasatan Jenayah Terkelas Superintendan Junainah M Kasbolah di talian 019-7051 223," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sinar Harian pada 23 September melaporkan bahawa Majistret Nordiana Abd Aziz mengeluarkan waran tangkap selepas pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya memohon perintah tersebut dikeluarkan terhadap tertuduh yang berumur 62 tahun itu.

Rewcastle-Brown dijadual dituduh mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah melalui buku The Sarawak Report - The Inside Story of the 1MDB Expose.

Sultanah Nur Zahirah sebelum ini memfailkan saman fitnah pada 21 November 2018 terhadap Rewcastle-Brown berhubung fitnah dalam buku 'The Sarawak Report-The Inside Story of the 1MDB Expose' dan menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta.

Artikel Berkaitan: