'Tuduhan kes kematian meningkat tak berasas'

S Veerapan
S Veerapan
A
A
A

SEREMBAN - Tuduhan mengatakan kematian bekas pesakit Pusat Hemodialisis Mawar (PHM) meningkat ekoran penutupan pusat rawatan itu adalah tidak berasas.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, ada juga kematian di PHM sebelum ini dan percaya ia berkaitan kondisi klinikal pesakit yang serius.

“Kematian boleh berlaku di mana-mana pusat rawatan atau pun di rumah. Tapi, kerajaan negeri sentiasa ikut perkembangan pesakit dari hari pertama dipindahkan ke hospital kerajaan.

“Tidak wajar tuduhan dibuat dalam media sosial seolah-olah apabila pesakit PHM dipindahkan, kadar kematian meningkat,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan rekod 2018, lebih 40 kes kematian melibatkan pesakit PHM iaitu sebelum diarah tutup pada bulan lalu.

Jelasnya, hanya tiga kematian direkodkan selepas PHM ditutup iaitu satu di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) dan dua lagi di rumah pesakit sendiri.

“Kematian mereka disebabkan kegagalan buah pinggang yang serius, selain penyakit kronik lain seperti sakit jantung, kencing manis dan darah tinggi,” katanya.

Selain itu katanya, sehingga Khamis, seramai 109 bekas pesakit PHM menyambung rawatan di hospital kerajaan negeri dan 158 pesakit memilih meneruskan rawatan di 16 pusat hemodialisis swasta, manakala empat lagi mendapat rawatan di luar Negeri Sembilan atas pilihan sendiri.

Artikel Berkaitan:

“Saya harap tohmahan tidak berasas ini dihentikan. Kerajaan negeri percaya Kementerian Kesihatan sentiasa utamakan kesihatan dan keselamatan pesakit.