X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 24 Januari 2022

DBKL aktifkan semua program Pagi Bebas Kenderaan

Gambar hiasan. - Foto Facebook KL Car Free Morning
A
A

KUALA LUMPUR - Program Pagi Bebas Kenderaan Kuala Lumpur (KLCFM) yang tertangguh sebelum ini akibat pandemik Covid-19 akan diaktifkan semula dijadualkan bermula pada Ahad ini.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan memaklumkan, sebagai permulaan program dwimingguan itu akan dijadikan program simulasi sesuai dengan prosedur operasi standard (SOP) baharu ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Mereka yang ingin menyertai program ini perlu lengkap vaksin (dua dos vaksin Covid-19 dan melepasi tempoh 14 hari) serta wajib membuat prapendaftaran.

"Peraturan kesihatan dan keselamatan yang diarahkan oleh MKN akan dilaksanakan secara ketat dalam melaksanakan program ini demi keselamatan peserta," kata DBKL dalam kenyataan itu, pada Khamis.

DBKL turut memaklumkan program simulasi yang akan diadakan pada November dan Disember itu akan menggunakan laluan sepanjang tujuh kilometer di sekitar ibu kota.

Menurut DBKL, jalan-jalan terlibat dalam program itu adalah Jalan Raja, Jalan P Ramlee, Jalan Dang Wangi dan sebahagian Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Ismail, Jalan Ampang dan Jalan Tuanku Abdul Rahman.

"KLCFM adalah program yang dapat mengeratkan perpaduan kaum dalam kalangan warga kota di samping medan untuk mengamalkan gaya hidup sihat, mesra keluarga dan membudayakan penjagaan alam sekitar.

"Ia membabitkan aktiviti berjalan, berlari, meluncur atau berbasikal selama dua jam mulai 7 pagi hingga 9 pagi dan sepanjang tempoh itu, jalan-jalan yang terbabit akan ditutup kepada kenderaan awam dan persendirian," katanya.

DBKL menjangkakan KLCFM akan dapat dilaksanakan secara penuh pada Januari tahun depan dengan pelbagai acara sampingan lain dan penyertaan daripada lebih ramai penaja.

"Mereka yang ingin menyertai KLCFM perlu membuat prapendaftaran terlebih dahulu menerusi laman sesawang KL Car Free Morning dan DBKL serta laman Facebook KL Car Free Morning dan DBKL yang telah dibuka sejak 2 November lepas.

"Peserta berjaya mendaftar akan dimaklumkan melalui e-mel selepas tarikh pendaftaran dan untuk maklumat lanjut mengenai KLCFM, orang ramai boleh melayari www.klcarfreemorning.my.,' kata DBKL dalam kenyataan itu.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!