Op Dadu: 17,382 serbuan, 25,643 tangkapan

Abd Jalil menunjukkan graf Pertuduhan Op Dadu seluruh negara bagi Januari 2019 hingga Oktober tahun ini pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini. - Foto Bernama
Abd Jalil menunjukkan graf Pertuduhan Op Dadu seluruh negara bagi Januari 2019 hingga Oktober tahun ini pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 17,382 serbuan membabitkan 25,643 tangkapan berjaya dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Op Dadu di seluruh negara sejak awal tahun ini sehingga 31 Oktober lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, sebanyak 18,038 unit komputer, komputer riba dan telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM8,297,213 dirampas.

"Serbuan loteri awam tanpa lesen adalah penyumbang tertinggi kepada jumlah serbuan iaitu sebanyak 9,561 diikuti judi dalam talian (6,321), catit taruh (535), judi dalam bangunan (407), judi luar bangunan (294) dan 'calling center' (264)," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini pada Rabu.

Abd Jalil berkata, pada tahun lalu sebanyak 15,958 serbuan dilakukan dengan tangkapan seramai 26,656 orang.

"Kita merampas sebanyak 25,098 unit komputer, komputer riba dan telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM9,201,631," katanya.

Beliau berkata, statistik serbuan pada tahun lalu turut mencatatkan loteri awam tanpa lesen adalah penyumbang tertinggi kepada jumlah serbuan iaitu sebanyak 8,324 diikuti judi dalam talian (6,350), judi dalam bangunan (408), judi luar bangunan (400), 'calling center' (264) dan catit taruh (275).

"Bagi jumlah pertuduhan kes-kes perjudian pula, sebanyak 15,958 kertas siasatan dibuka dan sebanyak 7,632 bersamaan 47 peratus kertas siasatan berjaya dituduh pada tahun lalu.

"Pada tahun ini, jumlah tersebut meningkat iaitu sebanyak 17,382 kertas siasatan dibuka dan 8,362 bersamaan 48 kertas siasatan berjaya dituduh," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Abd Jalil berkata, sebanyak 161 operator perjudian berlesen dilesenkan oleh Kementerian Kewangan.

"Pemantauan berterusan dibuat bagi memastikan tiada pelanggaran syarat-syarat lesen.

"Kita lihat tiada penambahan premis judi berlesen dan tiada penambahan lesen yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan," katanya.