X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

UMK tersenarai QS World University Rankings: Asia 2022

Arham Abdullah - FOTO SINAR HARIAN
A
A

BACHOK - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) tersenarai antara universiti terbaik Asia di kedudukan 551 daripada keseluruhan 600 dalam Quacqualrelli Symonds (QS) World University Rankings: Asia 2022.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMK, Profesor Ts Dr Arham Abdullah berkata, pengiktirafan daripada QS itu amat membanggakan dan meletakkan universiti di atas landasan yang tepat di dalam menyediakan sebuah universiti yang berkualiti.

Katanya, pencapaian itu juga membuktikan UMK berjaya melahirkan graduan yang kompeten dan menepati kehendak industri hingga mendapat pengiktirafan antarabangsa.

“Merujuk kepada pencapaian dalam QS World University Rankings Asia 2022 juga UMK dinilai bagi kedudukan kakitangan iaitu di tangga 196 dan bagi penilaian staf dengan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pula berada pada kedudukan 268 di Asia.

“Pencapaian ini juga membuktikan bahawa UMK mempunyai staf yang kompeten dalam pengajaran, pembelajaran, penyelidikan dan penerbitan yang berimpak dan sentiasa memberi fokus kepada pelbagai aspek sains, teknologi dan juga keusahawanan selaras dengan tanggungjawab universiti iaitu Universiti Untuk Masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Rabu.

Beliau berkata, UMK sebuah institusi pilihan untuk melanjutkan pengajian terutamanya bagi pelajar antarabangsa dan sebagai penanda aras bagi UMK.

“Selain itu, UMK akan terus bergerak maju sebagai pemain global bagi mencapai misi dan visi yang ditetapkan serta berada pada landasan terbaik sebagai universiti berfokus dalam memperkasa bidang keusahawanan di negara ini.

“UMK akan terus meningkatkan prestasi dan amalan terbaik bagi memperkasa bidang pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan bertaraf dunia dalam ekosistem teknologi dan keusahawanan dengan lebih kreatif juga inovatif yang dapat memanfaatkan masyarakat di negara ini,” katanya.

Menurut Arham, UMK juga akan meneruskan pelbagai inisiatif dengan memberikan fokus utama kepada kualiti dan impak penyelidikan di dalam bidang utama melalui kolaboratif strategik bersama agensi kerajaan, industri dan rakan antarabangsa.

Tambah beliau, penilaian QS World University Rankings: Asia 2022 dibuat berdasarkan kepada sebelas kriteria penilaian iaitu reputasi akademik, reputasi majikan, nisbah pelajar kepada fakulti, staf dengan PhD, nisbah sitatsi kepada artikel, nisbah artikel kepada fakulti, jaringan penyelidikan antarabangsa, staf akademik antarabangsa, pelajar antarabangsa, dan pertukaran pelajar.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!