Pinjaman PPLH berjumlah RM913.97 juta sehingga 2020

Willie
Willie
A
A
A
NILAI pinjaman keseluruhan bagi Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) dari 2006 hingga 2020 berjumlah RM913.97 juta, kata Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi II, Datuk Willie Anak Mongin.

Beliau berkata, kerajaan telah meluluskan 82 pinjaman PPLH yang terdiri daripada 70 syarikat swasta dan agensi kerajaan dengan jumlah keseluruhan kawasan tanaman ladang hutan seluas 126,457.99 hektar.

"Sebanyak 66,553.98 hektar adalah bagi penanaman di Semenanjung Malaysia (52.7 peratus), 30,404.01 hektar (24 peratus) di Sabah dan 29,500.00 hektar (23.3 peratus) di Sarawak.

"Berdasarkan laporan dan semakan kemajuan kerja syarikat peminjam di lapangan berakhir 30 Sept 2021, 117,489.26 hektar atau 92.9 peratus daripada keseluruhan kawasan telah dibangunkan untuk penanaman," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Wong Shu Qi (PH-Kluang) mengenai jumlah pinjaman bagi skim PPLH yang gagal dibayar balik dari 2006 hingga 2020.
Artikel Berkaitan:


Menurut Willie, sehingga 2020, masih tiada kutipan bagi bayaran balik pinjaman PPLH kerana tarikh matang perjanjian yang terdekat bagi bayaran balik pinjaman bermula pada Jan 2022.

"Tempoh pembayaran balik pinjaman PPLH adalah 15 tahun bagi setiap peminjam dan peminjam hanya mula membayar pada tahun ke-16 disebabkan kebanyakan spesis di bawah PPLH amat sesuai ditebang selepas 15 tahun," katanya. - Bernama