MBSA laksana Kempen Pengurangan Kompaun

SHAHRIN
SHAHRIN
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan melaksanakan Kempen Pengurangan Kompaun sehingga 50 peratus sepanjang bulan Mac ini bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk melangsaikan jumlah tunggakan.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, pihaknya menggalakkan orang kena kompaun (OKK) untuk menjelaskan bayaran tunggakan mereka menerusi inisiatif ini yang bermula sejak 1 hingga 31 Mac ini.

Beliau berkata, pemberian pengurangan bayaran kompaun ini juga dilaksanakan bagi mengelakkan OKK dikenakan tindakan tegas jika gagal melunaskan bayaran tunggakan masing-masing.

"MBSA cuba memberi peluang kepada orang ramai yang dikenakan kompaun untuk menjelaskan bayaran tunggakan dengan mendapat pengurangan sebanyak 50 peratus," katanya dalam satu kenyataan.

Difahamkan, jenis-jenis kompaun yang layak mendapat pengurangan sehingga 50 peratus adalah melibatkan kesalahan di bawah Undang-undang Kecil Kedai Gunting Rambut 1983, Undang-undang Kecil Taman (MBSA) 2005, Undang-undang Kecil Vandalisme (MBSA) 2005 dan Undang-undang Kecil Establisyemen Makanan (MBSA) 2007.

Selain itu, antara jenis kompaun lain yang turut mendapat pengurangan tersebut adalah melibatkan kesalahan di bawah Undang-undang Kecil Pengendali Makanan (MBSA) 2007, Undang-undang Kecil Iklan (MBSA) 2007, Undang-undang Kecil Penjaja (MBSA) 2007, Perintah Pengangkutan Jalan MBSA 2007 dan Undang-undang Kecil Pasar (MBSA) 2007.

Mengulas lanjut, kompaun Tempat Letak Kereta (Perintah Pengangkutan Jalan MBSA) juga akan diberikan pengurangan sehingga RM30 daripada jumlah asal di semua kaunter pembayaran MBSA.

"Bagi menggalakkan orang ramai membuat pembayaran, MBSA turut menyediakan perkhidmatan Pejabat Bergerak Shah Alam On Wheel (SAOW) yang akan beroperasi pada setiap hari Sabtu di pasar raya terpilih di kawasan pentadbiran majlis," katanya.

Artikel Berkaitan:

Orang ramai dinasihatkan supaya mengambil peluang ini untuk menjelaskan tunggakan kompaun masing-masing sebelum tindakan diambil ke atas OKK.

Antara tindakan yang dapat dikenakan adalah sekatan urusniaga di kaunter-kaunter MBSA atau membawa tindakan ke mahkamah.