Keadilan untuk Zulfarhan


Allahyarham Zulfarhan
Allahyarham Zulfarhan
A
A
A

IA satu kisah yang sangat menyayat hati.

Kisah tentang sekumpulan mahasiswa yang sepatutnya ke universiti untuk menimba ilmu dan keluar sebagai pegawai tentera atau profesional apabila tamat pengajian kelak.

Ia juga kisah tentang harapan ibu bapa yang mahu melihat anak-anak berjaya, namun akhirnya hancur dek hanya kerana satu peristiwa.

Akibat terbawa-bawa dengan budaya ragging dan buli, sekumpulan mahasiswa terlibat dengan satu pembunuhan tragis menggemparkan negara.

Diseksa dengan kejam apabila seluruh anggota badannya ditekap menggunakan seterika wap, Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Malaysia, Zulfarhan Osman Zulkarnain menemui ajal akibat kecederaan parah. Ketika kejadian pada tahun 2017, Zulfarhan baru berusia 21 tahun.

Kematian Zulfarhan membongkar dan mengheret 18 orang rakan sepengajiannya sendiri yang tergamak menyeksa mangsa sehingga membawa maut.

Siapa yang mungkin dapat melupakan satu video viral meruntun hati apabila bapa Zulfarhan bersujud sambil menitiskan air mata di luar mahkamah selepas hakim memutuskan 18 suspek perlu membela diri atas sabitan membunuh.

Dan kini selepas empat tahun peristiwa hitam itu, pada pagi Selasa, kematian pelajar Kejuruteraan Elektrik tersebut akhirnya terbela.

Artikel Berkaitan:

Hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa 18 tertuduh didapati bersalah atas pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan.

Hakim menjatuhkan hukuman 18 tahun penjara ke atas enam orang suspek utama.

Semua 18 tertuduh kecuali Mohamad Shobirin turut dijatuhi hukuman penjara tiga tahun selepas didapati bersalah menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan.

Peristiwa tragis Zulfarhan adalah satu kejadian yang perlu menjadi iktibar buat rakyat Malaysia agar menghentikan budaya buli di institusi pendidikan.

Pelajar lelaki terutamanya perlu menamatkan budaya toxic masculinity di sekolah atau IPT semata-mata menunjuk kuat di depan rakan lain.

Yang pasti, kisah Zulfarhan adalah satu amaran kepada kita, baik pihak institusi pendidikan, para pemimpin, pendidik, pelajar, ibu bapa dan masyarakat sendiri, tentang betapa bahayanya budaya ragging.