X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 28 Mei 2022

Perluaskan instrumen wakaf libatkan pendidikan, kesihatan

Fuziah Salleh
A
A

KUALA LUMPUR - Usaha kerajaan untuk memperkasakan instrumen wakaf dalam Bajet 2022 dicadangkan turut diperluaskan membabitkan bidang pendidikan dan kesihatan.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata, dana permulaan sebanyak RM10 juta yang diberikan kerajaan bagi memulakan inisiatif Wakaf Halal PKS, Wakaf Pertanian dan Wakaf Bencana itu suatu perkara yang bagus.

Menurutnya, lebih bagus sekiranya instumen wakaf turut dipraktikkan dalam bidang pendidikan dan kesihatan.

Katanya, peruntukan yang besar iaitu sebanyak RM1 bilion disediakan kerajaan untuk penyelenggaraan dan pembaikan sekolah pada tahun depan dan RM746 juta pula untuk memperbaiki sekolah-sekolah daif.

"Alangkah baiknya kalau kita boleh beri peluang kepada mana-mana syarikat dan individu untuk melabur saham akhirat mereka dalam wakaf dan kita dapat selenggara sekolah dan bangunkan sekolah daif kita.

"Kita juga tahu sewaktu Covid-19, kita kekurangan katil-katil unit rawatan rapi (ICU) dan tangki oksigen. Ini boleh juga dibangunkan melalui dana wakaf," katanya ketika perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Bajet) 2022 di Dewan Rakyat pada Selasa.

Pada pembentangan Bajet 2022, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan bahawa kerajaan akan terus memperkasa wakaf sebagai instrumen agihan semula kekayaan bagi pembangunan ekonomi negara.

Katanya, dana permulaan yang diberikan sebanyak RM10 juta itu bagi melahirkan lebih ramai usahawan tani dan pengusaha industri halal serta membantu mereka sekiranya ditimpa bencana.

Fuziah berkata, cadangan itu juga seiring dengan usaha yang telah dilakukan sebelum ini kerana Yayasan Waqaf Malaysia juga telah memulakan perjanjian dan persefahaman dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Justeru itu, beliau berharap usaha tersebut diteruskan walaupun berlaku pertukaran kerajaan kerana apa yang penting rakyat mendapat manfaatnya.

"Yang pentingnya kita perlu tengok secara fizikal Pelan Induk Wakaf Nasional yang disebut pada 2020 oleh Menteri Kewangan dan disebut sekali lagi Perdana Menteri dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

"Kita nak tengok kandungannya kerana ia akan membantu pengurusan wakaf pada masa hadapan," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!