Tubuh inkuiri siasat punca tiada tindakan awal pihak universiti

Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain
Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mendesak agar satu inkuiri diadakan bagi mengenal pasti punca menyebabkan tiada sebarang tindakan awal daripada pihak universiti bagi menghalang berlakunya insiden melibatkan kematian Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain.

Naib Ketuanya, Nik Fathurahman Nik Rasli berkata, langkah tersebut penting untuk meningkatkan tahap keselamatan pelajar serta menghalang insiden sama berlaku pada masa hadapan.

“Harus diingatkan bahawa Allahyarham Zulfarhan meninggal dunia selepas 10 hari menderita keseorangan di bilik asramanya akibat didera tanpa disedari pihak universiti.

“Sehubungan itu, inkuiri ini hendaklah menyiasat peranan yang dimainkan atau tidak dimainkan pihak keselamatan atau warden asrama universiti serta mengenalpasti jika wujud kecuaian pihak pentadbiran universiti dalam menjamin keselamatan pelajarnya.

“Pihak berwajib tidak boleh lepas tangan serta harus sama-sama dipertanggungjawabkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Seramai 18 penuntut UPNM didapati bersalah pada Selasa atas pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Abdullah ketika membacakan keputusan itu berkata, enam tertuduh didapati bersalah di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan atas tuduhan menyebabkan kecederaan tanpa niat membunuh Allahyarham.

Mengulas lanjut, Nik Fathurahman berkata, Pejuang Muda menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi dan menyifatkan situasi menakutkan terpaksa dihadapi Zulfarhan dalam menghadapi seksaan dan penderaan ekstrim dalam insiden tersebut adalah sangat menyedihkan.

Artikel Berkaitan:

“Rakyat seluruhnya berasa amat dukacita dan marah. Kami juga berharap dengan keputusan mahkamah ini, keluarga Allahyarham Zulfarhan mendapat keadilan serta pembelaan sewajarnya,” ujarnya.