Bekas guru ceburi bisnes, sahut cabaran semasa

Julia bersama kakitangan berbincang mengenai hal-ehwal perniagaan
Julia bersama kakitangan berbincang mengenai hal-ehwal perniagaan
A
A
A

TEMERLOH - Bermula dari zaman remaja dengan menjadi ejen sebuah syarikat kosmetik terkenal, seorang bekas pendidik kini memiliki pelbagai cabang bisnes di Temerloh.

Figura wanita kental, Julia Muhamad, 49, membuktikan keputusannya berhenti sebagai guru tepat walaupun untuk mencapai kejayaan bukan semudah seperti yang disangka.

Ternyata anak sulung dari tiga beradik itu tidak pernah menyesal dengan keputusannya beralih angin kepada bidang perniagaan.

Bermula dengan pusat tuisyen, anak kelahiran Selayang Baru, Selangor yang kini menetap di Temerloh itu bernaung di bawah syarikat, IB Enterprise sejak 2002 hingga kini.

Kini, selain IB Tuition, Julia juga memiliki IB Beauty Spa berkonsepkan Melayu tradisional yang mula dibuka pada 2011 yang kini menjadi pilihan para wanita di bangunan yang terletak di Jalan Ahmad Shah, Temerloh.

Jelasnya, IB bermakna Independent Business iaitu semuanya tanpa berkongsi dengan mana-mana pihak sebaliknya dengan modalnya sendiri.

Menurutnya, pada peringkat permulaan, sebanyak RM50,000 sebagai modal dikeluarkan hasil titik peluhnya sendiri.

“Selain itu saya juga memiliki cabang perniagaan lain iaitu IB Boutique dan IB Wallpaper yang terletak di Temerloh Mall.

Artikel Berkaitan:

“Sebelum ini saya pernah buka tadika hingga mampu beroperasi selama 13 tahun dan gimnasium sehingga 2019 namun selepas 10 beroperasi, ia terpaksa ditutup atas sebab-sebab tertentu,” katanya kepada Sinar Harian.

Ditanya keputusannya yang berani meneroka pelbagai bidang perniagaan, ibu kepada dua cahaya mata lelaki berusia 24 dan 15 tahun itu ingin memecahkan monopoli kaum lain.

“Saya lihat kaum Melayu kurang berani untuk meneroka pelbagai cabang bisnes jadi saya berani dan ambil risiko untuk mencuba.

“Kita sebenarnya boleh berjaya asalkan ada ilmu khususnya pengurusan kewangan yang baik, minat dan semangat kental,” ujarnya.

Dalam pada itu, Julia mengakui sokongan daripada keluarga terutamanya suaminya, Khairudin Nasiran, 52 banyak mendorong untuknya berjaya hingga ke peringkat ini.

Pemilik Anugerah Usahawan Terbaik Temerloh 2017 itu, kini giat mencari ruang perniagaan lain serta aktif melakukan strim dalam talian di platform media sosial.

Ini bagi memastikan perniagaannya sentiasa maju ke hadapan dan mampu bertahan ketika menghadapi cabaran semasa.