120,000 mohon jawatan pegawai bomba gred KB19

Mohammad Hamdan menyampaikan sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Pahang, Ismail Abdul Ghani yang mendahului barisan penerima di Ibu Pejabat JBPM Pahang, Indera Mahkota, Kuantan pada Isnin.
Mohammad Hamdan menyampaikan sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Pahang, Ismail Abdul Ghani yang mendahului barisan penerima di Ibu Pejabat JBPM Pahang, Indera Mahkota, Kuantan pada Isnin.
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima sebanyak 120,000 permohonan bagi mengisi jawatan pegawai bomba gred KB19 pada tahun ini.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, bagaimanapun berkata, hanya 1,000 kekosongan yang disediakan menyebabkan pihaknya terpaksa melakukan saringan ketat.

Beliau berkata, selepas tapisan dilakukan, seramai 1,000 calon yang layak dipilih dan akan menerima surat lantikan sebelum menjalani latihan asas di Akademi Bomba.

"Bagi pengambilan tahun ini, sebanyak 1,150 daripada kira-kira 1,600 kekosongan jawatan akan diisi termasuk 150 kekosongan jawatan pegawai Gred KB 29 (diploma) hingga KB41 (ijazah).

"Pegawai Gred KB 29 dan KB 41 akan ditempatkan di balai bomba kategori A di Pahang, Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Pulau Pinang, Perak, Sabah dan Sarawak yang dikenal pasti kekurangan anggota.

"Proses penempatan akan dilakukan selepas mereka selesai menjalani latihan dan kursus selama enam hingga sembilan bulan," katanya pada sidang akhbar sempena Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2020 dan Sijil Perkhidmatan 30 Tahun JBPM Pahang di Ibu Pejabat JBPM Pahang, Indera Mahkota di sini pada Isnin.

Turut hadir ialah Pengarah JBPM Pahang, Ir Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa.

Mohammad Hamdan berkata, sambutan luar biasa itu membuktikan ramai yang berminat untuk menyertai pasukan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Mohammad Hamdan (depan di tengah) bersama penerima anugerah perkhidmatan 30 tahun di Ibu Pejabat JBPM Pahang, Indera Mahkota, Kuantan pada Isnin.
Mohammad Hamdan (depan di tengah) bersama penerima anugerah perkhidmatan 30 tahun di Ibu Pejabat JBPM Pahang, Indera Mahkota, Kuantan pada Isnin.

Beliau bagaimanapun berkata, proses pengambilan pegawai akan dilaksanakan secara berterusan memandangkan terdapat balai yang mengalami kekurangan anggota.

"Kekosongan jawatan sentiasa berlaku atas faktor pegawai bersara dan kenaikan pangkat," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pegawai bomba yang menerima vaksin lengkap lebih enam bulan akan diberi keutamaan bagi pengambilan dos vaksin penggalak.

Menurutnya, ia penting terutama bagi mereka yang terlibat dalam operasi penyelamatan mangsa banjir.

"Walaupun sudah menerima vaksin lengkap, pegawai bomba berisiko terdedah dengan jangkitan Covid-19 sama ada semasa bertugas atau luar tugas.

"Bilangan pegawai yang menjalani kuarantin juga meningkat pada hari ini iaitu lebih 80 orang berbanding 73 kes sebelum ini," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Mohammad Hamdan berkata, kompleks latihan penyelamatan di air yang dibina di Akademi Bomba Wakaf Tapai, Terengganu dijangka siap tahun hadapan.

Beliau berkata, kerja-kerja pembinaan kompleks itu sudah dijalankan dan proses pembinaan kini mencapai 40 peratus.

"Selain untuk latihan pasukan, pusat itu juga akan dibuka kepada agensi penyelamat lain bagi menjalani latihan dengan modul disediakan pihak bomba.

"Pusat itu akan dikendalikan jurulatih dalam kalangan pegawai bomba yang telah menjalani latihan di luar negara termasuk di United Kingdom (UK) sebelum ini," jelas beliau.