Hospital swasta bakal dibina di Lubok Merbau

Saarani mendengar penerangan ketika mengadakan lawatan ke beberapa tapak projek di sekitar Padang Rengas.
Saarani mendengar penerangan ketika mengadakan lawatan ke beberapa tapak projek di sekitar Padang Rengas.
A
A
A

PADANG RENGAS - Sebuah hospital swasta akan dibangunkan di Lubok Merbau di sini bagi memenuhi perkhidmatan kesihatan terutama dalam sektor pelancongan kesihatan.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, pada ketika ini permintaan daripada orang luar terhadap pelancongan kesihatan adalah tinggi, namun kerajaan negeri kekurangan fasiliti termasuk penyediaan katil di hospital.

"Kerajaan negeri memang sedang membuat perancangan membina beberapa hospital swasta dalam Perak untuk memenuhi permintaan pelancongan kesihatan.

"Ada banyak permintaan sebenarnya cuma kita kekurangan katil dan akan cuba penuhi permintaan itu," katanya dalam sidang akhbar sempena sesi Townhall Menteri Besar bersama Penjawat Awam dan Warga Keselamatan di Dewan Millenium Lubok Merbau di sini pada Isnin.

Menurutnya, tapak cadangan pembinaan hospital swasta itu telah dikemukakan oleh Pejabat Tanah dan Daerah iaitu di Kawasan Perindustrian MIEL Lubok Merbau.

"Setakat ini dah buka (tender) dan dengar kata dah ada minat antaranya daripada KPJ (Hospital Pakar KPJ) untuk datang melihat," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kerajaan negeri meminta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyegerakan pembinaan kompleks sukan di atas tanah seluas 10.8 hektar di Lubok Merbau.

Katanya, dengan adanya kompleks sukan itu, ia dapat membantu menyemarakkan pembangunan sukan khususnya dalam daerah Kuala Kangsar.

Artikel Berkaitan:

"Tapak dah ada dan kami akan bincang dengan KBS dan kerajaan Pusat untuk membangunkannya sebagai komples sukan yang lengkap," katanya.

Mengulas mengenai cadangan pembinaan Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) di Kampung Ngor, Chegar Galah, dekat sini, Saarani berkata, kemudahan rumah di situ akan diberi keutamaan penduduk setempat terutama belia.

Katanya, tapak RPT itu yang merupakan tapak lama Sekolah Kebangsaan Jenalik boleh dibangunkan untuk mengisi sekurang-kurangnya 26 rumah.

"Berdasarkan lawatan tadi saya dimaklumkan pembinaanya melibatkan suntikan dana sebanyak RM720,000 untuk pembangunan infrastruktur. Kerajaan negeri akan cuba mencari jalan berhubung perkara itu,” katanya.