'Saya amat terkilan PM7 batal rayuan ke ICJ'

Najib (kiri), Dr Mahathir (kanan)
Najib (kiri), Dr Mahathir (kanan)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan perlu mencari jawapan punca Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri ketujuh menarik balik permohonan semakan dan pentafsiran kes Pulau Batu Puteh ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Datuk Seri Najib Razak (BN-Pekan) berkata, tindakan Dr Mahathir menarik balik rayuan di saat-saat akhir iaitu dua minggu sebelum rayuan itu dibawa ke mahkamah berkenaan disifatkan sebagai amat pelik.

Najib berkata, ketika beliau menjadi Perdana Menteri keenam, pentadbirannya telah menemui bukti baharu yang membolehkan rayuan dibuat, malah perkara itu juga terkandung dalam statut RCJ.

"Saya amat terkilan mengapa Perdana Menteri ketujuh membatalkan rayuan kita ke ICJ. Kononnya kita kena terima keputusan ICJ secara muktamad.

"Kita tidak kalah (lagi), apa salah kita teruskan? Boleh jadi kita menang (jika rayuan itu diteruskan), siapa tahu? Kalau menang kedaulatan negara kita terbela.

"Dalam isu kedaulatan ini tidak ada kompromi. Sebab itulah kita mesti soal siasat kenapa, mengapa rayuan kita ditarik balik (oleh Perdana Menteri ketujuh) di saat-saat akhir.

"Singapura pun terkejut bila kita buat keputusan mengejut. Kita pun tidak faham. Kita mahu tahu jawapan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Bajet) 2022 di Dewan Rakyat pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Pada 8 Oktober lalu, Jemaah Menteri bersetuju agar pasukan petugas khas diwujudkan bagi semakan semula undang-undang berkenaan kes Pedra Branca/Pulau Batu Puteh.

Menerusi kenyataan Perdana Menteri pada Sabtu, penubuhan itu bagi membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan opsyen-opsyen yang bersesuaian dengan mendapatkan pandangan daripada pakar undang-undang antarabangsa.

Pada tahun 2018, kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan Dr Mahathir menarik balik permohonan semakan terhadap keputusan ICJ sebelum kes itu dijadualkan didengar pada 11 Jun 2018.