Hukuman bekas inspektor terima rasuah RM25,000 kekal

Mohd Izwan yang dibawa keluar dari Mahkamah Kuala Terengganu beberapa tahun lalu, berhubung kes rasuah RM25,000.
Mohd Izwan yang dibawa keluar dari Mahkamah Kuala Terengganu beberapa tahun lalu, berhubung kes rasuah RM25,000.
A
A
A

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini pada Isnin mengekalkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM125,000 yang dijatuhi ke atas seorang bekas inspektor polis atas dua pertuduhan rasuah berjumlah RM25,000.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said, Datuk M Gunalan dan Datuk Hashim Hamzah membuat keputusan sebulat suara untuk mengetepikan rayuan Mohd Izwan Jamalud Din, 38 selaku perayu.

Ketika membaca keputusan penghakimannya, Kamaludin berkata, kesalahan perayu telah dibuktikan dan sabitan adalah selamat.

“Hukuman yang dikenakan iaitu penjara tiga tahun bagi kedua-dua pertuduhan tidak terlalu tinggi, jika dibandingkan dengan (peruntukan hukuman) maksimum 20 tahun bagi pertuduhan itu.

“Namun mahkamah mendapati hukuman gagal membayar denda RM25,000 iaitu penjara 12 bulan patut dikurangkan kepada enam bulan manakala bagi gagal bayar denda RM100,000 yang dikenakan selama dua tahun patut dikurangkan kepada setahun,” katanya.

Justeru itu beliau berkata, rayuan terhadap sabitan itu ditolak dan rayuan terhadap hukuman dibenarkan sebahagian.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Abdul Ghafar Abd Latif manakala tertuduh diwakili peguam bela, Datuk Amirul Ridzuan Haniff.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa secara rasuah menerima suapan wang tunai RM5,000 daripada Syahrull Sharahudeen sebagai dorongan untuk tidak menangkap lelaki berkenaan yang disyaki terbabit kesalahan dadah mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh yang ketika itu bertugas sebagai Inspektor Penyiasat Narkotik G di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Hulu Terengganu, didakwa melakukan kesalahan terbabit jam 6.25 petang pada 20 Ogos 2015 di belakang restoran KFC di Kuala Berang.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa secara rasuah meminta suapan RM20,000 daripada Syahrull yang disyaki terbabit kesalahan dadah sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap lelaki berkenaan.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah beralamat di Kampung Durian Kassim, Ajil, Hulu Terengganu, jam 8 malam pada 15 Ogos 2015.

Pada 25 Februari 2018, Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu menjatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM25,000 serta tambahan 12 bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan, bagi pertuduhan pertama.

Sementara pertuduhan kedua, tertuduh dihukum penjara tiga tahun dan denda RM100,000 serta tambahan 24 bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda itu.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh sabitan kes.

Pada 13 Ogos 2019, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengekalkan hukuman penjara tiga tahun bagi kedua-dua pertuduhan yang dikenakan ke atas Mohd Izwan selepas dia didapati bersalah atas dua pertuduhan rasuah berjumlah RM25,000.