Sila log masuk terlebih dahulu.

132 ditahan dalam Ops Sarang Khas di lima daerah

Ramli (empat dari kiri) memeriksa individu yang ditahan dalam Ops Sarang Khas di Lipis pada Ahad. - Foto PDRM
Ramli (empat dari kiri) memeriksa individu yang ditahan dalam Ops Sarang Khas di Lipis pada Ahad. - Foto PDRM
A
A
A

LIPIS - Seramai 132 orang yang disyaki pengedar dan penagih dadah ditahan di kawasan Felda di lima buah daerah di negeri ini sempena Ops Sarang Khas pada Sabtu dan Ahad.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, operasi dijalankan secara serentak iaitu di Lipis, Raub, Maran, Temerloh dan Jerantut.

Beliau berkata, serbuan dilakukan di lokasi pengedaran dan penagihan dadah serta rumah ke rumah melibatkan lima daerah terbabit.

Menurutnya, dalam serbuan itu, dadah jenis heroin anggaran berat kasar 151.51 gram, selain Syabu (113.62 gram), pil Yaba (23.85 gram), eramin 5 (4.5 gram), kodein (0.04 liter) dan air ketum (4.5 liter) berjumlah keseluruhan RM17,493 dirampas.

"Kesemua yang ditahan iaitu 14 individu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, tiga di bawah Seksyen 39A (1) serta 21 di bawah Seksyen 12 (2)/ Seramai 88 individu lagi di bawah Seksyen 15(1)(a), kesemuanya di bawah akta sama.

"Baki enam lagi individu disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun kerana disyaki memiliki cecair disyaki air ketum," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, semakan terhadap semua tangkapan mendapati kesemua penagih didapati memiliki rekod jenayah lampau dan dikategorikan sebagai penagih dadah berulang.

"Hasil operasi ini, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti pengedar-pengedar terlibat, seterusnya tindakan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985 Akta Dadah Berbahaya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sepanjang Januari hingga September 2021, JSJN Pahang berjaya membuat tangkapan ke atas 6,342 orang dengan jumlah keseluruhan kes dicatatkan ialah sebanyak 5,220 kes.

Katanya, ia melibatkan nilai rampasan pelbagai jenis dadah sebanyak RM3.4 juta serta jumlah sitaan harta pengedar dadah bernilai RM4.2 juta.