Kemunculan pertama pemimpin agung Taliban

Haibatullah Akhundzada mengambil alih kepimpinan Taliban sejak 2016. - Foto: Agensi
Haibatullah Akhundzada mengambil alih kepimpinan Taliban sejak 2016. - Foto: Agensi
A
A
A

KABUL - Pemimpin Agung Taliban, Haibatullah Akhundzada membuat kemunculan pertama di khalayak umum sejak memegang kepimpinan gerakan itu pada 2016.

Pada Sabtu, beliau dilaporkan mengadakan lawatan ke Madrasah Darul Uloom Hakimah di bandar selatan Kandahar untuk bertemu penyokongnya.

"Semoga ALLAH SWT memberi ganjaran kepada rakyat Afghanistan yang berjuang untuk menentang pencerobohan asing selama 20 tahun. Niat saya di sini adalah untuk mendoakan anda dan berharap anda juga melakukan perkara sama," ujarnya.

Menerusi rakaman audio berdurasi 10 minit yang dikongsi akaun media sosial Taliban, beliau turut memohon doa untuk pejuang yang terkorban dan cedera dalam perjuangan yang dianggap sebagai 'ujian besar' bagi membina semula Emiriah Islam Afghanistan.

"Mari kita berdoa agar dapat mengharungi ujian ini dan semoga ALLAH membantu kita untuk terus kuat," katanya lagi.

Difahamkan, kawalan keselamatan ketat turut dilaksanakan sepanjang majlis tersebut malah tiada gambar atau rakaman video memaparkan penampilan beliau dikeluarkan untuk tatapan ramai.

Sebelum ini, Haibatullah dikenali sebagai pemimpin 'low profile' sejak mengambil alih gerakan itu setelah pendahulunya, Mullah Akhtar Mansour terkorban dalam serangan dron pada 2016 malah pelantikannya turut mendapat sokongan Ketua al-Qaeda, Ayman al-Zawahiri.

Beliau juga hanya muncul untuk menyampaikan mesej ketika waktu tertentu dan dipercayai banyak menghabiskan masa di Kandahar.

Artikel Berkaitan:

Kali terakhir beliau mengeluarkan kenyataan adalah pada 7 September lalu ketika pemimpin diberi gelaran 'Amirul Mukminin' itu meminta pemerintah baharu Taliban di Kabul supaya menegakkan undang-undang Islam.

Pada minggu lalu, Gabenor Kandahar, Mullah Yussef Wafa yang juga sekutu rapat kepada Haibatullah mengesahkan beliau sentiasa berhubung dengan pemimpin tersebut.

"Kami sering mengadakan pertemuan untuk membincangkan tentang situasi semasa di Afghanistan dan bagaimana mahu membentuk pemerintahan yang baik," katanya. - AFP