Denda jika gagal sedia perkhidmatan seperti dijanjikan

Annuar. - Foto Bernama
Annuar. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Syarikat telekomunikasi akan dikenakan denda sekiranya gagal menyediakan perkhidmatan seperti yang telah dijanjikan kepada pengguna, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, undang-undang Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mempunyai peruntukan, di mana setiap syarikat telekomunikasi perlu melaksanakan standard-standard minima yang telah ditetapkan.

Menurut Annuar, sekiranya tidak melepasi standard minima yang telah ditetapkan, SKMM diberikan kuasa untuk memberikan peringatan kepada syarikat berkenaan, termasuk mengenakan denda kewangan.

“SKMM diberikan kuasa untuk mengingatkan mereka (syarikat telekomunikasi) agar meningkatkan perkhidmatan, sekiranya tidak mengikut ketetapan yang ditetapkan syarikat itu boleh dikenakan denda.

“Malah, sekarang SKMM sering turun ke lapangan untuk melihat masalah dan aduan yang dialami oleh masyarakat, sama ada menerusi maklumat dan aduan yang diperoleh secara terus ataupun tidak termasuk yang tular di media sosial dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Belajar Dari Rumah Untuk Institusi Pengajian Tinggi, di Politeknik Kota Bharu (PKB), Kok Lanas di sini pada Ahad. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications, Wing K Lee dan Pengarah PKB, Rosli Idris.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, pihaknya juga telah mewujudkan portal The Jalinan Digital Negara (Jendela) Map, sebagai platform kepada masyarakat untuk membuat aduan berkaitan liputan, kelajuan telekomunikasi dan sebagainya.

“Untuk mendapatkan maklumat yang cepat di kawasan mana yang terkesan dengan rangkaian jalur lebar, kita telah menwujudkan portal Jendela Map di mana SKMM akan melakukan pemantauan setiap hari untuk membuat tindakan susulan melawat dan membaiki.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu kita juga telah membekalkan kelengkapan kepada SKMM di seluruh negeri untuk membuat semakan dan menyukat secara rawak kelajuan jalur lebar syarikat telekomunikasi seperti yang dijanjikan.

"Sekurang-kurangnya ia akan membuatkan mereka sentiasa bersedia untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius mengenai perkara berkenaan, memandangkan liputan membabitkan syarikat telekomunikasi termasuk jalur lebar menjadi keperluan semua golongan lapisan masyarakat.

Katanya, perkara itu termasuk mengenai akta mengenai perkhidmatan telekomunikasi akan dibawa kepada parlimen untuk ditambah baik, dan mengetatkan lagi undang-undang sedia ada supaya ia dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Kita tidak mahu perkara ini terlepas pandang, malah setakat ini juga sudah ada syarikat telekomunikasi yang dikenakan denda. Untuk, memajukan perkhidmatan telekomunikasi termasuk jalur lebar yang berkualiti, kita perlu wujudkan ekosistem yang kondusif dan mendapat kerjasama semua pihak,” katanya. - Bernama