Seludup dadah: Polis tidak tolak kemungkinan individu lain terlibat

Razarudin (tengah) menunjukkan rampasan dadah yang dilakukan dalam empat siri serbuan sekitar Johor Bahru, selepas sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru, pada Ahad.
Razarudin (tengah) menunjukkan rampasan dadah yang dilakukan dalam empat siri serbuan sekitar Johor Bahru, selepas sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru, pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis tidak menolak kemungkinan terdapat individu atau pihak lain terlibat dalam kes penahanan seorang warga Malaysia yang disyaki menyeludup dadah di Australia pada 16 Oktober lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSNJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Razarudin Husain berkata, bagaimanapun perkara tersebut masih dalam siasatan dan tidak boleh didedahkan ketika ini.

"Kita masih siasat, memang ada penglibatan di sini (tetapi) kita tidak boleh dedah awal. Kalau kes (macam) ini makan masa kira-kira empat bulan. Kita jangka (ambil masa) satu hingga empat bulan. Macam-macam modus operandi (digunakan dalam kes ini), kes ini kompleks.

"Ini bukan kes tangkap ayam, hari ini kita dapat maklumat hari ini kita tangkap. Kita pun boleh buat begitu tetapi kita tidak akan dapat (tangkap) secara holistik keseluruhan sindiket terbabit.

"Kes ini masih dalam siasatan, kalau ada tangkapan (terbaharu) dalam kes ini kita akan maklumkan, ini maklumat daripada pihak Australia," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini pada Ahad.

Media sebelum ini melaporkan seorang warganegara Malaysia ditahan pihak berkuasa Australia kerana cuba menyeludup masuk 450 kilogram (kg) dadah jenis heroin bernilai RM431.8 juta ke negara berkenaan.

Pegawai Kanan Polis, Krissy Barret berkata, itu juga adalah rampasan dadah terbesar di negara tersebut.

Kesemua bekalan dadah itu disembunyikan dalam kontena yang diisytiharkan membawa bungkusan berisi jubin.

Artikel Berkaitan: