Mohana Muniandy menang jawatan Ketua Wanita MIC

Mohana Muniandy. - Foto Facebook
Mohana Muniandy. - Foto Facebook
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Wanita MIC Datuk Mohana Muniandy membuat kemunculan semula apabila menang jawatan Ketua Wanita MIC bagi penggal 2021-2024 selepas menewaskan penyandang J. Usha Nandhini dalam pemilihan sayap peringkat kebangsaan dan negeri parti itu pada Sabtu.

Mohana mendapat 2,550 undi manakala Usha Nandhini, yang memegang jawatan itu sejak 2018, memperoleh 1,323 undi.

Pengumuman keputusan pemilihan itu dibuat oleh Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M.Saravanan di ibu pejabat parti di sini selepas proses pengundian dan pengiraan undi seluruh negara selesai.

Mohana, 45, yang merupakan Ketua Wanita MIC dari 2013 hingga 2018, tidak mempertahan jawatannya dalam pemilihan parti pada 2018.

Ketika ditemui pemberita, beliau berjanji akan berusaha meningkatkan taraf hidup wanita India di negara ini selain bekerja keras untuk Pilihan Raya Negeri Melaka khususnya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal mengetengahkan calon MIC.

“Saya juga akan bekerjasama dengan Usha Nandhini kerana walau apapun, kami semua berada dalam sayap yang sama demi parti ini,” katanya.

Saravanan turut mengumumkan Vickneswari Babuji berjaya mempertahan jawatan Timbalan Ketua Wanita MIC selepas menewaskan Dr Thanaletchumy Palanisamy selepas memperoleh 2,303 undi berbanding 1,535 yang diraih pencabarnya itu.

Ahli DUN Tenggaroh K. Raven Kumar pula dipilih sebagai Ketua Pemuda MIC selepas diumumkan menang tanpa bertanding sewaktu penamaan calon untuk pemilihan sayap parti itu pada 22 Okt lepas.

Artikel Berkaitan:

Pergerakan Pemuda dan Wanita parti itu juga memilih 18 orang untuk mengisi jawatan dalam Majlis Pemuda/Wanita Kebangsaan MIC serta dua orang sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).

Selain itu, A. Kishva dan R. Puvaneswary menang tanpa bertanding jawatan Ketua Putera dan Ketua Puteri MIC.

Penamaan calon bagi jawatan tertinggi parti termasuk CWC MIC akan berlangsung pada 19 November manakala pemilihan pada 26 November. -Bernama