Teruja dapat biasiswa YTN

A
A
A

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (belakang, dua dari kiri) bersama kakitangan TNB dan wakil pelajaryang menerimabiasiswa YTN.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (belakang, dua dari kiri) bersama kakitangan TNB dan wakil pelajaryang menerimabiasiswa YTN.

Pelajar cemerlang SPM ditaja biasiswa lanjut pelajaran di Uniten

Keadaan ekonomi ketika ini yang terkesan akibat pandemik Covid-19 menjadi faktor penyumbang pendapatan isi rumah terjejas, sekali gus memadamkan hasrat anak-anak untuk meneruskan pengajian.

Namun, 93 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2020 bertuah kerana impian mereka untuk ke menara gading menjadi kenyataan.

Sumbangan yang diterima daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi Yayasan Tenaga Nasional (YTN) itu dianggap sebagai satu anugerah yang tidak ternilai.

Artikel Berkaitan:

AHMAD MUQRY
AHMAD MUQRY

Penerima biasiswa YTN, Ahmad Muqry Hasni berkata, biasiswa itu memberi manfaat kepadanya dalam merealisasikan impian untuk cemerlang dalam pelajaran dan mendapat kerjaya yang baik.

“Saya yakin biasiswa ini sebagai platform terbaik untuk mengembangkan pendidikan profesional saya dan mempercepat pertumbuhan kerjaya kerana TNB merupakan 10 majikan teratas dalam Most Attractive Employers in 2021,” katanya.

Ahmad Muqry kini sedang mengikuti program A-Level di Kolej Yayasan UEM dan bakal melanjutkan pelajaran Ijazah Sarjana Muda Data Sains dan Analitik di salah sebuah universiti di United Kingdom pada tahun 2023.

Peluang keemasan

CHUAN XI
CHUAN XI

Sementara itu, Ang Chuan Xi dari Johor akui tertarik dengan biasiswa YTN selepas mendapat maklumat daripada penerima terdahulu yang berkongsi pengalaman menerima biasiswa YTN dan bagaimana YTN mengembangkan potensi mereka.

“Semangat mereka dan tawaran itu menarik perhatian saya untuk memohon biasiswa YTN kerana saya mahu menjadi seorang yang berjaya. Saya mahu mengubah taraf hidup keluarga dan membalas jasa ibu,” ujarnya yang meneruskan pengajian selama empat tahun dalam bidang perniagaan di Universiti Tenaga Nasional (Uniten).

KISHYAA
KISHYAA

Penerima biasiswa YTN dari Pulau Pinang, Kishyaa Mary Kumeresen tekad memohon biasiswa supaya kedua ibu bapanya yang kini bersara tidak terbeban.

Walaupun dia tahu ibu bapanya akan menyediakan keperluan namun biasiswa ini memberi jaminan untuknya meneruskan pengajian tanpa masalah kewangan.

“Saya tidak perlu risau lagi dan hanya perlu fokus untuk memberikan yang terbaik, mencapai matlamat dan menjadi aset yang hebat kepada TNB.

“Saya harap dapat memberikan khidmat dan kemahiran saya kepada masyarakat dan negara setelah menamatkan pengajian dalam bidang kewangan,” katanya.



TAKIYUDDIN
TAKIYUDDIN

"Saya difahamkan TNB melalui YTN telah membelanjakan sebanyak RM426 juta dalam tempoh seliaan dari tahun 2018 hingga Julai 2021 untuk pendidikan sama ada penajaan biasiswa, biasiswa dan Dermasiswa My BF.



"Penajaan pendidikan ini sangat bermakna untuk membantu kerajaan meningkatkan taraf hidup rakyat, terutamanya bagi pelajar golongan B40,” - Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan

93 pelajar terpilih

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, TNB komited membantu kerajaan khususnya dalam usaha meningkatkan modal insan berkualiti untuk pertumbuhan negara dengan pelbagai inisiatif, penajaan dan sumbangan.

Jelasnya, tanggungjawab korporat TNB di bidang pendidikan adalah salah satu aspek yang begitu diambil berat kerana percaya pendidikan adalah antara enabler yang boleh mengubah kehidupan masyarakat.

TNB menerusi YTN menganugerahkan biasiswa kepada pelajar cemerlang SPM yang memiliki kualiti kepimpinan dan aktif kokurikulum untuk melanjutkan pelajaran di universiti tempatan dan luar negara.

Ir. BAHARIN
Ir. BAHARIN

"Kami di TNB percaya menerusi peluang pendidikan, potensi modal insan akan dapat digilap dan akan menyumbang kepada peningkatan tahap hidup rakyat dan pembangunan negara. “Oleh itu, TNB kekal komited untuk meneruskan program reengineering masyarakat melalui pendidikan,” - Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din

Program penajaan pendidikan itu bertujuan membantu pelajar cemerlang daripada golongan B40 meningkatkan taraf hidup.

YTN menerima 8,400 pemohon lepasan SPM bagi tahun 2020 dengan 20 orang daripadanya ditawarkan pengajian di luar negara di bidang Kejuruteraan Elektrik Kuasa, Perakaunan/Kewangan serta Data Sains dan Analitik.

Seramai 73 orang lagi akan melanjutkan pelajaran di Uniten dalam jurusan kejuruteraan elektrik kuasa, kejuruteraan awam, kejuruteraan mekanikal, sains komputer, kewangan, pengajian bisnes dan perakaunan.

TNB memperuntukkan kira-kira RM35 juta biasiswa dengan kos RM1 juta seorang di luar negara dan antara RM120,000 hingga RM140,000 bagi pengajian di dalam negara.

Sejak ditubuhkan pada 1993, TNB telah membelanjakan lebih RM1.2 bilion dalam bentuk Dermasiswa MyBF (RM66 juta), biasiswa (RM597 juta) dan pinjaman boleh ubah (RM547 juta) kepada lebih 18,500 pelajar.