Pemindahan sisa radioaktif di kilang Lynas boleh disegerakan

Dr Adham Baba ketika menghadiri Mesyuarat Kedua Penggal Keempat, Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen, pada Khamis. - Foto Bernama
Dr Adham Baba ketika menghadiri Mesyuarat Kedua Penggal Keempat, Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen, pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan masih berpendirian bahawa pemindahan sisa radioaktif yang terkumpul di kilang Lynas, Gebeng boleh disegerakan dengan syarat mempercepatkan pembinaan kemudahan pelupusan kekal (PDF).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, sebelum kelulusan pembinaan PDF itu diberikan, Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA) mensyaratkan supaya dua aspek penilaian utama dipatuhi.

“Aspek tersebut ialah penilaian kesan radiologi dan penilaian impak alam sekitar,” katanya semasa pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pertanyaan Wong Teck (PH-Bentong) mengenai kenyataan LPTA bahawa sisa radioaktif yang terkumpul di kilang Lynas perlu dipindahkan segera kerana kawasan tersebut terdedah kepada banjir besar.

Sementara itu, Dr Adham menambah, kemudahan PDF telah dikenal pasti di Kawasan Perindustrian Gebeng dan kini sedang dalam proses penilaian sebelum diberikan kelulusan pembinaan.

“Berikutan kebimbangan yang wujud berkenaan risiko banjir di kawasan sekitar Kawasan Perindustrian Gebeng, penilaian awal ke atas laporan penilaian kesan radiologi (RIA) yang telah diterima pada September 2021 telah dilakukan.

“Daripada penilaian awal tersebut, tapak cadangan baharu bagi pembinaan PDF ini diklasifikasikan sebagai kawasan berisiko rendah dilanda banjir,” jelas beliau.

Artikel Berkaitan: