Sorok dadah bawah bantal

Chee Khoon (tengah) dan pegawainya menunjukkan dadah dan barangan yang dirampas pada sidang media di Bilik Mesyuarat IPD Sabak Bernam, di sini.
Chee Khoon (tengah) dan pegawainya menunjukkan dadah dan barangan yang dirampas pada sidang media di Bilik Mesyuarat IPD Sabak Bernam, di sini.
A
A
A

SABAK BERNAM - Kegiatan licik dua rakan menyorok dadah dalam bantal gagal mengaburi polis apabila mereka diberkas dalam 'Ops Tapis' di sebuah rumah di Kampung Pasir Panjang, Sekinchan, di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Suprintendan Lim Chee Khoon berkata, sepasukan anggota polis diketuai Ketua Polis Balai Sekinchan, Inspektor Abdul Rahman Khalid, menahan kedua suspek berusia 26 dan 47 tahun pada jam 1 pagi.

"Ketika serbuan dijalankan, semua suspek berada dalam salah sebuah bilik di rumah berkenaan.

"Hasil pemeriksaan polis menemui tiga paket plastik lut sinar berisi ketulan kecil dadah jenis heroin seberat 70. 65 gram bernilai RM2, 000," katanya pada sidang media polis, di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), di sini, hari ini.

Chee Khoon berkata, berdasarkan semakan polis mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau narkotik dan kesalahan mencuri.

Menurutnya, kedua-dua suspek kemudian direman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 13 Mac.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Chee Khoon berkata, polis berjaya menahan seorang lelaki warganegara Myanmar selepas berada dalam keadaan mencurigakan di Jalan Pantai Bagan, Teluk Rhu, Sungai Air Tawar, Rabu lalu.

Artikel Berkaitan:

"Suspek berusia 38 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis dari IPD Sabak Bernam diketuai Inspektor Muhamad Norizan Ramli, jam 2.31 pagi.

"Hasil pemeriksaan polis menemui empat peket plastik lut sinar mengandungi dadah disyaki heroin seberat 95.83 gram bernilai RM 3, 000," katanya.

Beliau memberitahu, pemeriksaan air kencing ke atas suspek mendapati positif dadah jenis MOP selain tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

"Suspek direman 14 hari bermula 6 Mac sehingga 19 Mac dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952," katanya.