X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 07 Disember 2021

Kim Swee buru keputusan positif berdepan JDT

Datuk Ong Kim Swee
A
A

PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berharap supaya aksi berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT), bagi kempen Piala Malaysia di Stadium Likas, Jumaat ini dapat menghasilkan keputusan yang positif.

Menurut Kim Swee, kesemua pemain digesa agar tidak mengulangi kesilapan-kesilapan sebagaimana yang dilakukan sebelum ini bagi memastikan keputusan berkenaan mampu dicapai.

Justeru katanya, persiapan rapi yang dilakukan selama sebulan lalu dapat diterjemahkan oleh kesebelasan pemain demi menghasilkan keputusan positif berkenaan.

“Kita tidak boleh mengulangi kesilapan dan kelemahan yang ada ketika bertemu JDT nanti. Lagi pun saya percaya banyak perkara telah pun diperbaiki sepanjang tempoh rehat sebulan ini.

“Bagaimanapun, dalam setiap perlawanan pasti ada kelemahan serta kekuatan namun semua pemain perlu fokus agar dapat menyaingi kekuatan pasukan JDT,” katanya pada Rabu.

Untuk rekod, aksi berdepan JDT merupakan perlawanan pertama Kim Swee sejak dilantik mengendalikan Sabah FC mulai 1 Oktober lalu.

Sementara itu, Kim Swee berharap kesebelasan pemain dapat meletakkan sasaran yang positif apabila berdepan JDT dengan tidak membenarkan lawan mendominasi perlawanan.

“Kita perlu yakin bahawa bermain di laman sendiri merupakan salah satu kekuatan yang kita ada.

“Selain itu, sokongan daripada penyokong yang dibenarkan hadir ke stadium bagi menyaksikan perlawanan Piala Malaysia bermula Jumaat ini, diharap memberikan suntikan semangat kepada pemain,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!