X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 07 Disember 2021

Mohd Radzi lawat sekolah didakwa buat pemeriksaan haid secara fizikal

Mohd Radzi (dua dari kanan) ketika mengadakan lawatan di sekolah terbabit pada Selasa.
A
A

SHAH ALAM - Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mengadakan lawatan ke sebuah sekolah di Setapak, Kuala Lumpur pada Selasa ekoran dakwaan berlakunya pemeriksaan haid secara fizikal dalam kalangan murid perempuan di sekolah berkenaan.

Lawatan tersebut turut disertai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datin Seri Nor Zamani Abdol Hamid.

Mohd Radzi berkata, beliau memandang serius dakwaan terbabit dan akan memastikan perkara berkenaan tidak berulang kembali di mana-mana institusi di bawah KPM.

“Kedatangan saya pada malam ini adalah untuk mendengar dan mendapatkan maklum balas secara terus daripada murid di sekolah berkenaan.

“Selain itu, kami juga mendengar penjelasan daripada pengetua dan guru sekolah. Kami akan perhalusi perkara yang dimaklumkan semasa perjumpaan sebentar tadi.

“KPM sentiasa komited untuk menyediakan persekitaran yang selamat dan selesa di sekolah dan asrama. Ini bagi mewujudkan sekolah yang sejahtera untuk semua,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook beliau pada Selasa malam.

Pada Selasa, seorang pengguna Twitter mendakwa, beliau mendapat maklumat daripada sumber yang mengatakan bahawa pelajar perempuan di sekolah berkenaan telah diperintah untuk melalui pemeriksaan haid secara fizikal.

Media sebelum ini melaporkan pendedahan pelajar di beberapa sekolah yang tidak dinamakan mendakwa amalan itu dikatakan berlaku sejak lebih 20 tahun lalu.

Susulan daripada itu, Mohd Radzi pada 20 Jun lalu memaklumkan, KPM kini di peringkat akhir menubuhkan jawatankuasa bebas untuk menangani kes amalan pemeriksaan datang haid terhadap pelajar perempuan secara fizikal.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!