X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 19 Mei 2022

Masalah banjir kilat belenggu penduduk Taman Pulai Jaya

Wan Romani (kiri) meninjau sistem perparitan berdekatan Taman Pulai Jaya, Alor Setar pada Selasa.
A
A

ALOR SETAR - Lebih 100 keluarga di Taman Pulai Jaya di sini bimbang dengan situasi banjir kilat yang sering melanda di kawasan tersebut setiap kali hujan lebat berterusan lebih satu jam.

Pengerusi Surau Taman Pulai Jaya, Hamzah Said, 59, berkata, masalah banjir kilat dialami penduduk taman perumahan berkenaan sudah lama, namun semakin kerap sejak akhir-akhir ini.

"Setiap kali hujan lebat, penduduk akan resah memikirkan air menerusi sistem perparitan berdekatan naik sehingga paras 0.60 meter (m) dan adakalanya melimpah ke rumah penduduk.

"Setakat ini, air sudah naik lebih 10 kali dalam tempoh setahun dan lebih memburukkan keadaan apabila kenderaan melalui kawasan dipenuhi air disebabkan ia berolak seakan ombak masuk ke rumah penduduk," katanya kepada pemberita pada Selasa.

Hamzah berkata, penduduk tidak menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya hanya mahu masalah membelenggu kehidupan mereka sekian lama selesai secepat mungkin.

Sehubungan itu, beliau memohon pihak berwajib untuk mengambil tindakan bagi menyelesaikan perkara ini, sekali gus memastikan masalah banjir kilat dilalui penduduk berakhir.

Sementara itu, kebimbangan penduduk itu mendapat perhatian Exco Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Pinang, Wan Romani Wan Salim.

Wan Romani berkata, masalah banjir kilat di taman perumahan itu dipercayai berlaku disebabkan sistem perparitan tidak berfungsi dengan baik.

Bagaimanapun, katanya, pihak berkenaan telah melakukan kajian dan meneliti puncanya dan akan mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan isu tersebut.

"Antara lain, kita mendapati kolam tadahan air di taman perumahan tersebut mempunyai kapasiti keluasan agak terhad, sekali gus menyebabkan ia cepat penuh apabila hujan lebat selama satu jam sahaja," katanya.

Wan Romani berkata, hasil rundingan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) bersama Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), pihak MADA bersetuju untuk mengalirkan takungan air segera bagi mengatasi serba sedikit banjir kilat di kawasan itu.

"Berdasarkan jangkaan awal, kos pelaksanaan bagi mengatasi masalah banjir di kawasan berkenaan dianggarkan melebihi RM500,000 dan dijangka siap tahun depan," jelas beliau.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!