Sebahagian besar Venezuela bergelap, Maduro salahkan sabotaj

Orang ramai menyeberangi sebuah jalan di Caracas dalam keadaan gelap. - Foto AFP
Orang ramai menyeberangi sebuah jalan di Caracas dalam keadaan gelap. - Foto AFP
A
A
A

CARACAS - VENEZUELA. Ribuan rakyat Venezuela terpaksa bergelap susulan ketiadaan bekalan elektrik di sebahagian besar negara itu semalam dan Presiden Nicolas Maduro mengandaikan ia perbuatan sabotaj di sebuah empangan hidroelektrik yang membekalkan kuasa di negara Amerika Selatan itu.

Media tempatan melaporkan, ketiadaan bekalan elektrik menjejaskan penduduk di Caracas dan juga 15 daripada 23 negeri di Venezuela, ramai daripada mereka terpaksa berjalan kaki selama beberapa jam untuk sampai ke rumah berikutan penutupan perkhidmatan tren dan hanya terdapat beberapa buah bas yang beroperasi.

"Orang yang bertanggungjawab ke atas insiden ini bernama Nicolas Maduro," kata Pedro Fernandez, 44,seorang jurutera sistem di Altamira, Caracas.

Sementara itu, Menteri Tenaga Luis Motta berkata, terdapat pihak yang 'mengganggu' operasi Empangan Hidroelektrik Guri yang membekalkan sebahagian besar kuasa elektrik di Venezuela, namun beliau tidak memberi sebarang bukti bagi menyokong dakwaan tersebut.

Ketiadaan bekalan elektrik sering berlaku di Venezuela dan menurut pengkritik ia berpunca daripada rasuah dan kekurangan sumber untuk memacu sektor tenaga, namun Presiden Maduro menegaskan masalah yang menghimpit negara berkenaan sengaja diwujudkan musuh politiknya. - Reuters

Artikel Berkaitan: