‘Suasana fasa empat tak boleh disamakan dengan pilihan raya’

Hishammuddin pada sidang media ketika Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Hishammuddin pada sidang media ketika Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suasana Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Melaka tidak boleh disamakan dengan suasana pilihan raya negeri, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Menurutnya, perkara itu sepatutnya tidak dipolemikkan dan dipolitikkan oleh sesetengah pihak.

Tegasnya, sekiranya ia merupakan sesuatu yang tidak dibenarkan seperti diumumkan, tindakan sama rata mesti diamalkan oleh semua pihak sama ada kerajaan atau pembangkang.

“Tindakan sama rata mesti diamalkan supaya orang tidak melihat ada ‘double standard’ dalam kita nak memperkuatkuasakan dan memantau prosedur operasi standard (SOP) sedia ada sehingga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil alih pada 8 November dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka,” katanya pada sidang akhbar di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan sesetengah pihak bahawa kemungkinan ahli politik kerajaan akan berkempen dalam PRN Melaka semasa program rasmi kerajaan.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini mengeluarkan larangan bagi sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya termasuk penganjuran majlis-majlis pelancaran jentera pilihan raya berkuat kuasa 25 Oktober hingga 27 November ini.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, larangan itu terpakai bagi PRN Melaka yang dijadualkan pada 20 November ini termasuk kempen rumah ke rumah dan ceramah.

Mengulas lanjut, Hishammuddin percaya keputusan dibuat oleh KKM itu bersandarkan kepada apa yang berlaku beberapa hari sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

“Di mana kita tengok banyak perhimpunan serta majlis walaupun dianggap sosial tetapi ada kaitan dengan pilihan raya dan ia melibatkan ramai individu berkumpul lebih daripada 50 peratus ditetapkan dalam SOP biasa.

“Kita tengok ramai tidak memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal tidak dipatuhi oleh mereka yang terlibat. Jadi, itu trend yang kita tidak boleh benarkan ketika ini kerana SPR hanya dipertanggungjawabkan dalam perjalanan pilihan raya selepas 8 November.

“Sebelum 8 November, tanggungjawabnya di bawah Akta 342 berada di atas bahu KKM, dipantau oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan dikuat kuasa oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya.

Beliau berkata, bermula hari ini sehingga 8 November, perlu dipastikan tidak ada perkara-perkara yang boleh menimbulkan atau mengundang kemarahan rakyat terhadap ahli-ahli politik.

“Ia janggal kalau kita lihat SOP yang longgar sebelum 8 November tetapi pada pilihan raya nanti SPR umumkan SOP yang ketat,” jelasnya.