PM ketuai delegasi ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-38, 39

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 serta Sidang-sidang Kemuncak berkaitan pada 26 hingga 28 Oktober 2021 melalui persidangan video.

Menurutnya kenyataan dari Wisma Putra, tema ASEAN 2021 adalah ‘We Care, We Prepare, We Prosper’ dan ia dipengerusikan oleh Brunei Darussalam.

“Perdana Menteri akan diiringi oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah bersama Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta pegawai-pegawai kanan kerajaan dari Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Luar Negeri dan MITI.

“Pemimpin-pemimpin ASEAN dijangka membincangkan hala tuju ASEAN dan usaha komuniti ASEAN serta inisiatif utama ASEAN terhadap Covid-19. Selain itu, semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-39, pemimpin-pemimpin ASEAN akan bertukar pandangan mengenai hubungan luar, isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan,” menurut satu kenyataan Wisma Putra, pada Isnin.

Dalam pada itu, pemimpin-pemimpin ASEAN akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Campur Satu dengan para Pemimpin dari Australia, China, India, Jepun, Republik Korea (ROK), Rusia, Amerika Syarikat; Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga dan Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS).

Menurut kenyataan tersebut, ia diselang-seli dengan Sidang-sidang Kemuncak ASEAN dan Perdana Menteri akan diiringi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed bagi menyertai Sidang Kemuncak Kawasan Pertumbuhan Timur ASEAN Brunei -Indonesia - Malaysia - Filipina Ke-14 (Sidang Kemuncak BIMP- EAGA) dan Sidang Kemuncak Pertumbuhan Segitiga Indonesia - Malaysia - Thailand ke-13 (Sidang Kemuncak IMT-GT) pada 28 Oktober 2021 yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

“Penyertaan Malaysia dalam Sidang-sidang Kemuncak ASEAN pada kali ini mencerminkan komitmen teguh terhadap ASEAN terutama ketika rantau masih bergelut dengan cabaran-cabaran berikutan pandemik Covid-19,” menurut kenyataan itu.

Artikel Berkaitan: